KRP3013

BAHAGIAN B
Berdasarkan pengalaman anda bagaimanakah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan komuniti setempat anda dapat membantu sekolah dan anak-anak mereka meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran kurikulum menjayakan matlamat Kurikulum Kebangsaan.

1.0              Pengenalan
Pusat Kegiatan Guru ialah pusat peningkatan profesionalisme keguruan menerusi pelbagai aktiviti pendidikan yang mengutamakan perkembangan kurikulum berlandaskan teknologi pendidikan. Ia sentiasa menjalankan program-program bagi mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan dan menggiatkan aktiviti yang memenuhi keperluan guru-guru (Leong Kam Chong & Naim Hj. Ahmad, 1994).

Komuniti setempat adalah satu kumpulan masyarakat yang mempunyai budaya dan tradisinya yang tersendiri. Kumpulan ini membentuk satu identiti tersendiri bagi menggambarkan masyarakatnya. Gambaran yang diberi ini akan menunjukkan masyarakat tersebut dikenali. Contohnya, masyarakat Iban dan Melanau di Sarawak berbeza budaya dan tradisinya. Begitu juga masyarakat-masyarakat lain di Malaysia. Komuniti setempat selalunya akan cuba mengekalkan pengaruhnya budaya dan tradisi dalam diri kanak-kanak sebagai kesinambungan masyarakat. Pengekalan ciri-ciri budaya ini mendedahkan kanak-kanak dalam masyarakat setempat kepada pembelajaran cara budaya sendiri. Selalunya berkenaan adat istiadat, tradisi dan tingkah laku.

Komuniti setempat merupakan pengaruh penting dalam diri kanak-kanak kerana mereka merupakan golongan yang pertama dalam diri kanak-kanak. Sebagai pengaruh terbesar di dalam zaman awal  kanak-kanak, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangkitkan kebijaksanaan di dalam diri kanak-kanak dengan mendidiknya secara holistik dalam pada peringkat zaman  kanak-kanak.  Kepelbagaian cara didikan ibu bapa dan komuniti setempat memberi kesan kepada perkembangan moral kanak-kanak (Jillian Rodd. 1996).
Di peringkat awal kanak-kanak, ianya tidak hanya tertumpu kepada sesuatu pengalaman pembelajaran di sekolah tetapi ia merangkumi segala pengalaman dalam kehidupan hariannya sama ada di pusat asuhan, di rumah atau di luar rumah seperti komuniti yang juga memainkan peranan yang penting membentuk satu budaya tersendiri. Komuniti atau masyarakat boleh mempengaruhi kanak-kanak serta ibu bapa kerana wujudnya jaringan hubungan. Mereka juga memerlukan peluang untuk melibatkan diri dalam berbagai jenis pengalaman. Pendedahan dan penglibatan ini penting untuk mereka berkembang dengan sempurna (Rozumah & Salma. 1985).
Pendidikan  di sekolah adalah pendidikan yang penting. Ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup seseorang individu selepas pendidikan di rumah. Ia menjadi tapak yang boleh menyemarakkan individu berilmu pengetahuan dan sukakan sekolah. Oleh sebab itu, guru mesti sedar bahawa perlunya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai pendidikan di sekolah yang merangkumi aspek-aspek perkembangan kanak-kanak, strategi pengajaran pembelajaran, pentadbiran sekolah dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pendidikan.
Pendidikan peringkat awal sangat dititik beratkan oleh filosofi Islam dan Barat. Mereka sependapat bahawa pendidikan kanak-kanak harus mendapat perhatian sepenuhnya kerana kanak-kanak mempunyai waktu tertentu yang sangat singkat dan perlu mendapat perhatian serius. Waktu ini disebut sebagai waktu kritikal.
Perkembangan intelek, emosi dan jasmani kanak-kanak bergantung kepada sempurna atau tidaknya pendidikan yang diperolehi terutama sekali dalam waktu kritikal. Jadi, untuk menyempurnakan tugas ibubapa dan komuniti setempat, sekolah perlulah mempunyai kurikulum yang seragam untuk membentuk insan yang cemerlang yang akan menjadi pemimpin unggul pada masa akan datang.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula menitikberatkan penyepaduan semua elemen intelek dan sahsiah diri untuk kemajuan masyarakat dan negara. Jelas sekali dalam membentuk anak-anak insaniah memerlukan penglibatan komuniti setempat bagi mendapat impak maksima. Matlamat besar Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyeluruh menjadikan komuniti setempat memegang tanggungjawab besar seiring institusi sekolah untuk membangunkan murid-murid dari segi JERI.

2.0              Peranan Pusat Kegiatan Guru
Ia merupakan institusi pendidikan, budaya perkongsian dan pendemokrasian serta rangkaian dalam pusat sumber pendidikan (Abdul Malek bin Bilal Sidek, 1995). Pusat Kegiatan Guru menjadi pusat kegiatan profesional dan kurikulum serta pusat melaksanakan aktiviti-aktiviti ikhtisas dan kurikulum yang berkait rapat dengan keperluan sekolah dan sesuatu kelompok. Di samping itu, ia menjadi pusat sumber bagi menyediakan kedudukan dan perkhidmatan bahan-bahan pendidikan, alat bahan mengajar serta penghasilan bahan pengajaran-pembelajaran. Selain itu, Pusat Kegiatan Guru juga menjadi medan pusat sosial bagi meningkatkan proses sosialisasi antara pendidik, pentadbir dan sekolah melalui aktiviti-aktiviti kebudayaan, kesenian dan majlis gotong-royong.

Ini dapat dilihat apabila Pusat Kegiatan Guru mempunyai matlamat untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah, melalui peningkatan taraf profesionalisme guru-guru berdasarkan kepada penghayatan Falsafah Pendidikan Negara. Pusat Kegiatan Guru akan merealisasikan potensi dan individualiti guru, sehingga dapat melaksanakan amanah dengan baik dalam setiap peringkat dan bidang kehidupan bagi menghadapi cabaran Wawasan 2020 selaras dengan dasar pembangunan negara kita. Kesan daripada itu, peningkatan ini akan memberi kesan positif kepada sekolah dan murid-murid melalui pengajaran dan pembelajaran kurikulum.

Pusat Kegiatan guru juga dilihat sebagai agen perubahan dan penyelesaian dalam aspek-aspek kemanusiaan, kemahiran dan kemudahan. Dari mana ianya sebagai tempat untuk guru-guru memberi fikiran, mengkaji semula amalan-amalannya, mentaksir keperluan-keperluan pelajar dan menilai semula prestasi dalam profesion perguruan. Selain itu, sebagai tempat guru dari sekolah-sekolah berdekatan berkongsi, berpadu tenaga dan idea, bertukar-tukar fikiran, serta berkomunikasi tentang kerjaya mereka sehari-hari. Malah ianya wujud untuk keperluan, bantuan dan sokongan kepada sekolah-sekolah manakala perkhidmatannya menekankan perkembangan dalam bilik darjah serta pelajar menjadi fokus utama. Di samping itu, Tempat untuk guru-guru merancang, membina, meneroka dan meminjam bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran. Perancangan Pusat Kegiatan Guru dalam merealisasikan untuk mencapai matlamat Kurikulum Kebangsaan sangat ketara dalam proses membudayakan guru mencapai tahap profesionlisme tinggi. Di antara yang paling ketara ialah Membudayakan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, keberkesanan pengurusan dan pentadbiran  sekolah serta kompentensi guru yang berterusan. Selain itu, memberi khidmat bantu kepada murid dan guru dalam penggunaan teknologi pendidikan serta mencari alternatif-alternatif  baru teknologi pendidikan yang sesuai bagi kegunaan murid dan guru. Dari segi teknologi pula, Pusat Kegiatan Guru telah membangunkan bahan teknologi pendidikan yang berkualiti bagi meningkatkan akses sumber ilmu kepada murid dan guru. Dengan itu dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan kemudahan pusat sumber bagi menyokong peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

3.0              Peranan Komuniti Setempat

Pihak komuniti setempat tidak kurang pentingnya dalam penglibatan di peringkat awal kanak -kanak. Masyarakat terdiri daripada pelbagai keluarga yang bekerja dalam pelbagai kerjaya yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran yang boleh membawa kepada satu simbiosis taska sekolah akan bermakna jika diatur dengan bijaksana (Aminah Ayob et al. 2008). Masyarakat setempat merupakan komuniti yang boleh mempengaruhi kanak-kanak. Berhubung dengan orang luar dalam komuniti boleh menpengaruhi pembelajaran kanak -kanak (Jeffrey Glanz. 2006 ). Dalam komuniti, masyarakat mempunyai kepunyaan, tanggungjwab dalam masyarakat, menolong satu sama lain, memberi komitmen serta hormat  (Thompson. 2005).

Masyarakat luar bandar seperti penduduk kampung terutamanya gemar melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalan oleh sekolah kerana anak mereka sendiri merupakan murid sekolah tersebut. Dengan penglibatan mereka, secara tidak langsung mereka juga memberikan sokongan kepada anak mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan. Sokongan yang diberikan akan meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk berjaya. Penjagaan kanak- kanak dengan kualiti yang baik akan merangsang perkembangan mereka (Eugenia Hepworth Berger. 1991).

Apabila aktiviti sekolah dianjurkan, kanak-kanak mula untuk belajar bergaul dan saling memahami pelbagai budaya dengan komuniti setempat seperti yang ditekankan dalam kurikulum. Lebih banyak hubungan berlaku dalam minda kanak-kanak lebih banyak sinaps terbentuk jika kanak-kanak terus diransang dan didedahkan kepada pengalaman pembelajaran yang banyak (Aminah Ayob et al. 2008). Kanak-kanak yang mempunyai kemahiran sosial yang tinggi mampu untuk bergaul dengan komuniti pelbagai budaya. Ini kerana mereka mempunyai hubungan yang istimewa iaitu berada di set yang sama berasaskan kepercayaan yang sama dan selesa untuk melakukan bersama ( Thompson. 2005 ).

Semasa bersosial dengan komuniti, berlaku proses interaksi dan komunikasi secara tidak langsung yang juga ditekankan dalam  kurikulum. Pergaulan kanak- kanak dalam komuniti akan mempercepatkan kebolehan berkomunikasi lebih awal kerana terdapat ransangan luar yang positif. Lebih banyak dan kerap kanak- kanak dirangsang, maka akan bertambah jaringan neuron dalam otaknya. Jika sinaps tersebut digunakan  dengan kerap, akhirnya ia akan menjadi hubungan yang kekal.  Oleh itu, adalah penting kanak-kanak diberikan ransangan positif yang banyak dan kerap supaya sinaps yang terbentuk menjadi kekal (Aminah Ayob et.al. 2008). Malah kanak-kanak yang mahir berkomunikasi, mudah berinteraksi.

Semasa terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum, komuniti juga secara tidak langsung menjadi pembantu kepada guru. Misalnya, Hari Sukan Sekolah, komuniti yang bertugas akan dipecahkan mengikut bahagian masing-masing. Dalam pada itu, mereka juga akan berinteraksi dengan kanak-kanak untuk memberi sokongan supaya mereka dapat melakukan yang terbaik pada hari itu.  Ahli komuniti boleh menjadi pembantu guru, pensyarah dan tutor (Marzano. 2003).

4.0              Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan

4.1              Badan Kerajaan
Badan Kerajaan juga dikira sebagai komuniti setempat kerana pihak ini memberi impak ke atas perkembangan kanak-kanak. Badan Kerajaan yang terlibat secara tidak langsung memberi pendidikan dan pengalaman kepada kanak-kanak. Contohnya dua Badan Kerajaan yang ketara sekali terlibat ialah Polis dan Bomba. Kedua-duanya memberi pendidikan dan pengalaman seperti menjaga keselamatan, mencegah kebakaran, penggunaan alatan, undang-undang dan pelbagai lagi.

Badan Kerajaan memberi peluang kepada murid-murid untuk merasa dan mengalaminya sendiri seperti menggunakan Alat Pemadam Api, cara-cara selamat ketika melintas jalan raya atau cara membuat bantu mula. Sememangnya guru ada mendedahkan pengetahuan tersebut kepada murid-murid. Tetapi apabila pihak berwajib yang sebenarnya memberi pendedahan tersebut, maka impaknya lebih besar dan lebih berkesan.

Sumbangan dalam bentuk pengetahuan seperti ceramah yang selalu dilakukan oleh pihak Kesihatan, boleh membuka minda kanak-kanak tentang sesuatu penyakit berjangkit dan sebagainya. Kanak-kanak yang diberi pendedahan ini akan menjadi agen di rumahnya atau komuniti. Perkara sebegini bukan sahaja mendedahkan murid-murid kepada perkara yang dipelajarinya, malah membantu dalam pendidikan formal di sekolah.

Era globalisasi dan ledakan maklumat telah mencetuskan episod baru dalam dunia pendidikan negara. Pengenalan persekolahan moden, teknologi maklumat dan komunikasi dan, kepelbagaian populasi pelajar telah menggesa perubahan dilakukan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Sejajar dengan itu, pelbagai langkah pengukuhan dan penegasan dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan perubahan semasa. Antaranya adalah dengan penggubalan Akta Pendidikan 1996 yang berobjektifkan kepada pembentukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang bertaraf dunia. Namun, aspirasi ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Ini kerana ia menuntut kepada peningkatan kualiti secara berterusan dalam semua aspek dan melibatkan semua pihak yang berkaitan dengan institusi pendidikan. Memandangkan kualiti pendidikan berhubung secara langsung dengan kualiti guru (Organisation for Economic Co-operation and Development, 2004), maka penekanan harus diberikan kepada peranan guru.

Dewasa ini, tugas guru di sekolah menjadi semakin kompleks dan rumit. Mereka bukan sahaja dimestikan untuk menguasai pengetahuan terhadap kandungan subjek yang diajar, malahan dituntut agar berupaya untuk melaksanakan pelbagai fungsi lain seperti merancang unit-unit pengajaran bersesuaian dengan tahap penguasaan pelajar, mempraktikkan teknik pengawalan kelas secara berkesan, menilai kemajuan pelajar secara berterusan, memotivasi pelajar dan bertindak balas dengan sewajarnya terhadap perbezaan yang wujud di dalam kelas. Tugasan yang mencabar ini akan menjadi lebih sukar apabila ia terpaksa dilaksanakan oleh guru-guru yang baru menceburi bidang pendidikan. Tambahan pula, harapan yang tinggi turut diletakkan di bahu para guru ini untuk siap sedia melengkapkan diri dengan semua pengetahuan dan kemahiran tentang proses pengajaran dan pembelajaran sebaik sahaja melangkah masuk ke dunia pendidikan, di samping berupaya untuk mengadaptasi diri dengan budaya sekolah dalam tempoh masa yang paling minimum.
Justeru, untuk menyediakan bentuk pendidikan yang lebih berkualiti di masa hadapan, perhatian lebih perlu diberikan kepada guru-guru yang baru berkhidmat agar dapat memantapkan komitmen mereka terhadap profesion perguruan. Menyedari keperluan tersebut, semua institusi pengajian tinggi yang menawarkan program persediaan guru berlumba-lumba untuk menambahbaik program pendidikan masing-masing agar menepati keperluan dan kehendak semasa. Ekoran itu, pelbagai pendekatan baru telah dirangka bagi memastikan bakal-bakal guru yang dilahirkan telah diperlengkapkan dengan pengetahuan tentang subjek yang akan diajar di samping didedahkan dengan pelbagai aspek penting dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Di samping itu juga, meningkatkan akses dan kualiti sistem pendidikan di semua peringkat kurikulum dan pengajaran, pelaksanaan Kurikulum Pra-sekolah Kebangsaan yang seragam dan berkualiti, mengkaji aktiviti kurikulum dan kokurikulum peringkat sekolah, kajian terhadap kurikulum latihan perguruan, menambah baik kandungan mata pelajaran, meningkatkan kemahiran pedagogi dan penggunaan teknologi maklumat yang lebih meluas. Kerjasama antara industri dengan institusi pengajian tinggi untuk responsif kepada keperluan pasaran buruh, meningkatkan keupayaan siswazah tempatan untuk kerjaya, program latihan praktikal dan penempatan industri. Sistem Latihan Dual Kebangsaan akan diperbaiki lagi melalui rundingan dengan pihak terbabit, menubuhkan Majlis Penasihat Kebangsaan bagi pendidikan dan latihan bagi memberi panduan mengenai dasar dan strategi berkaitan pendidikan dan industri.

4.2              Badan Bukan Kerajaan
Badan amal bukan kerajaan yang menjerumus kepada kebajikan kanak-kanak juga wujud di Malaysia. Contohnya, program Click A Child yang dinaungi Masjid At- Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Islamic Relief World Wide, Yayasan Sarawak dan Yayasan Basmi Kemiskinan. Program yang dijalankan adalah bertujuan membantu kanak-kanak yang tidak berkemampuan. Antara program yang dilaksanakan adalah Malam Amal untuk rumah-rumah anak-anak yatim. Dengan program ini, kanak-kanak dapat dibantu melalui perkembangan awal mereka dengan lebik baik walau pun tanpa ibu bapa. Stimulasi yang diberikan dari rumah serta dorongan terhadap minat-minat kanak-kanak merupakan hal vital bagi perkembangan bakat kanak-kanak ( Reni Akbar  Hawadi. 2001).

Program-program yang lebih meluas telah dijalankan oleh badan bukan kerajaan untuk membantu sektor pendidikan. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti Program Pendidikan Nuri oleh Bank Rakyat contohnya, telah membantu murid-murid dalam mencapai tahap keputusan ujian lebih baik. Selain itu, usaha begini turut mempengaruhi badan-badan lain yang mula sedar akan tanggungjawab membangun masyarakat terutama kanak-kanak. Saluran siaran televisyen seperti ASTRO juga telah mengambil langkah yang sama dari mana mengadakan saluran khas seperti TVIQ demi untuk membantu murid-murid bersedia menghadapi peperiksaan. Bukan setakat itu sahaja, ASTRO tampilkan rancangan menarik seperti OHH MY ENGLISH yang begitu diminati oleh seluruh masyarakat Malaysia. Penampilan rancangan menarik ini telah memupuk minat murid-murid untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan betul. Program terancang begini pastinya memudahkan lagi untuk murid-murid belajar dan memahami.

Selain itu, khidmat percuma dalam bentuk ceramah motivasi oleh badan-badan bukan kerajaan turut menjadi titik penting untuk menggalakkan murid lebih bersemangat dalam mengharungi pembelajaran mereka. Sumbangan dalam mengadakan Kem UPSR atau Kem Motivasi bukan sahaja untuk pembelajaran malah mendidik anak-anak dalam mengharungi kehidupan seharian. Kerjasama sekolah dan badan kerajaan lebih digalakkan lagi sehingga ada di antara badan bukan kerajaan yang mengadakan Program Sekolah Angkat. Program sebegini akan memudahkan pihak sekolah menambah sumber ilmiah untuk disalurkan kepada murid-murid.

Dewasa ini, kita sering mendengar pelbagai rancangan di kaca televisyen tentang pembelaan nasib warga miskin. Lebih daripada enam puluh peratus daripada siarannya adalah pembelaan bagi persekolahan anak-anak. Program ini juga akan memperkasakan pendidikan anak-anak yang miskin yang pastinya ada potensi untuk dimajukan. Pembelaan begini bukan setakat itu sahaja, malah menyedarkan seluruh rakyat bahawa setiap individu yang bertanggungjawab merasa diri sendiri itu juga sebagai penyumbang kepada kesejahteraan seluruh warga sepertinya. Perlancaran pelbagai jenis tabung kutipan yang dianjurkan juga memainkan peranan penting untuk menambahkan lagi tugas dan tanggungjawab badan bukan kerajaan dalam pendidikan.

5.0              Kesimpulan
Kejayaan awal kanak-kanak  adalah kesedaran ibu bapa dan komuniti terhadap keunikan yang dimilliki oleh mereka dan kewujudan idea-idea yang diluahkan oleh golongan kanak-kanak ini. Kanak-kanak memerlukan ibu bapa yang responsif dan fleksibel serta komuniti yang sensitif terhadap pekembangan mereka. Perkembangan yang meliputi pelbagai aspek ini perlu dipastikan oleh ibu bapa serta komuniti. Oleh itu, ransangan yang sesuai mengikut perkembangan kanak-kanak perlu diberikan supaya kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, meningkatkan kebolehan, melahirkan idea dan meningkatkan keyakinan dalam melakukan penorakaan terhadap alam sekeliling.

Penglibatan ibu bapa dan komuniti juga sangat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak kerana akan memberi impak kepada pembesaran dan secara tidak lansung kepada masa depan mereka yang merupakan aset penting negara. Oleh itu, ibu bapa dan komuniti perlu sedar akan peranan masing-masing dalam membangkitkan kebijaksanaan di dalam diri anak-anak dengan mendidiknya secara pragmatik pada peringkat awal pembesaran mereka.

  
Bibiografi
Atan Long.1979. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Elizebeth Sadek & Jacqueline Sadek. 2004. Good practice in Nursery          
Management : 2nd edition. United Kingdom : Stanley Thornes Publisher Ltd
Jillian Rodd. 1996. Leadership in early childhood : the pathway to  
          profesionalisme. Singapore : South Wind Production.
Kementerian Pendidikan Malaysia,  2001. Huraian Kurikulum Prasekolah
Kebangsaan. Pusat Perkembangan Kurikulum.
Ramlah Jantan dan Mahani Razali. 2004. Psikologi Pendidikan – Pendekatan
Kontemporari Edisi Revisi. Perak: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.
Siti Fatimah Binti Bdul Rahman (2006,November 10). Penglibatan ibu bapa jamin
kejayaan anak-anak. Utusan Malaysia.
Universiti Pendidikan Sultan Idris.2008. Kurikulum Permata. Pusat Penyelidikan
Perkembangan Kanak-kanak Negara.

Kamarul Azmi b. Jasmi. 2002. Paradigma Imam Al-Nawawi Dalam Pembangunan Insan: Satu      Kajian Teks Terhadap kitab Riyad Al-Sholihin. Universiti Malaya.