KAE3013k

BAHAGIAN A
a)            Jelaskan konsep pemikiran kreatif dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

1.    PENGENALAN
Golongan kanak-kanak adalah golongan yang mempunyai kebolehan pemikirannya yang tersendiri. Ini adalah kerana daya imaginasi kanak-kanak tidak pernah terbatas. Bayangan yang dibuat boleh melangkaui batasan pemikiran orang dewasa. Kanak-kanak selalunya sangat kreatif dengan barang mainan mereka. Cuma dengan sebatang pen dan kayu ais krim, mereka boleh menjadikan ianya sebagai kapal terbang. Kanak-kanak secara kreatifnya memainkan peranan bahan tadi menjadi kapal terbang dan dengan bermain bersertakan bunyi dan pergerakan.

Menurut Mok Soon Sang (2011), pemikiran merupakan satu proses di mana  aktiviti membina ilmu dan kefahaman yang melibatkan mental dan otak manusia. Semasa berfikir, otak manusia akan bertindak dengan usaha menerima rangsangan dari luar melalui deria seperti telinga untuk mendengar, mata untuk melihat. Seterusnya membentuk konsep, membuat tafsiran dan bertindak balas berdasarkan pengalaman yang sedia ada dalam ingatan.

Pemikiran kreatif kanak-kanak seharusnya tidak disekat, malah mesti dibantu supaya ianya terarah ke suatu perkara yang lebih bermakna. Melalui pemikiran kreatif ini, kanak-kanak boleh membina ilmu dengan lebih mudah dan memanipulasikan ilmu mereka menjadi sesuatu yang baru. Penggalakan melalui sistem pembelajaran dapat membantu memperkembangkan ilmu dan pengetahuan, malah konsistensi pembelajaran juga boleh memberi mereka pengalaman dalam pencarian ilmu.





2.    DEFINISI KREATIF
Terlalu banyak makna dan pengertian telah diberikan terhadap erti kreatif. Menurut Majaro (1992) kreatif sebagai proses pemikiran yang mendorong dalam mengrealisasikan idea baru. Dalam pada itu pula, Oldham dan Cumming (1196) menyatakan kreatif ialah sesuatu perkara yang asli berkaitan dengan produk yang bermanfaat atau prosedur menghasilkan idea baru. Menurut Nystrom (1979) pula, menyatakan kreatif sebagai penemuan baru di mana ia menuju ke arah yang lebih realiti. Mumford dan Gustafson (1998) dalam kajiannya menyebut kreatif ialah penghasilan produk-produk dan dihargai oleh masyarakat.

Menurut Mok Soon Sang (2011), kreatif membawa maksud penghasilan idea, aktiviti dan benda yang baru.  Pemikiran kreatif merupakan pemikiran yang berupaya memikirkan apa yang belum difikir oleh orang lain untuk menyelesaikan masalah. Ia juga adalah kebolehan mengeluarkan pelbagai penyelesaian yang luas terhadap sesuatu masalah. Hasil pemikiran mempunyai sifat yang tersendiri dan prosedur pemikiran tidak tetap serta tidak dapat diramalkan. Pemikiran kreatif juga di antaranya sebagai operasi berfikir yang dapat mengembangkan idea, hasil, metafora, analogi dan definisi atau merekacipta sesuatu yang baru. Melalui pemikiran kreatif, pelbagai kemungkinan penyelesaian dapat dihasilkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.  

Irving Taylor (1959) pula membuat analisis ke atas seratus definisi kreatif dan mengklasifikasikannya kepada lima peringkat iaitu:-
i.              Peringkat ekspresif
ii.             Peringkat produktif
iii.            Peringkat inventif
iv.           Peringkat inovatif
v.            Peringkat emergentif

Secara am, semua pakar bersetuju kreatif mesti wajib mengandungi kompenan novelti. Boleh diringkaskan secara umum bahawa kreatif ialah kombinasi di antara idea baru dan idea lama. Idea baru diperlukan dan idea lama dikaji dan dinilai semula. Ia juga merupakan proses melihat semula, memilih, menukar ganti, gabungan antara maklumat idea baru dan kemahiran.

3.    KONSEP PEMIKIRAN KREATIF
Menurut Menurut Dewey (1910) menyatakan bahawa pemikiran adalah sebagai aktiviti mental dalam sesuatu proses untuk menyelesaiakan masalah yang dihadapi. Guiford (1967) berpendapat bahawa pemikiran ialah sesuatu jenis kebolehan atau keupayaan dan mempunyai pelbagai kemahiran berfikir. Teori Roger Sperry (1970) pula menghuraikan fungsi otak kiri manusia yang berfikir secara kritis manakala otak kanannya berfikir secara kreatif. Mayor (1977) memberi tafsiran bahawa pemikiran sebagai pengelolaan operasi-operasi mental dalam sistem kognitif dan telah digunakan untuk menyelesaikan masalah. Davidoff (1979) melihat pemikiran sebagai penggunaan simbol, gambar, perkataan, pengamatan dan konsep. Melalui pemikiran, rangsangan luar yang diterima oleh deria akan ditafsir dengan menggunakan perkataan atau simbol untuk membentuk konsep terhadap rangsangan.

Secara keseluruhannya, pemikiran adalah suatu proses yang menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu masalah atau keraguan yang timbul dengan menggunakan pelbagai cara dan kaedah. Seterusnya membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logical dan munasabah terhadap proses yang dialami (Mok Soon Sang, 2011).   

Terdapat beberapa ciri pemikiran kreatif yang dapat ditunjukkan. Ciri utama adalah keberanian. Keberanian ini adalah untuk menjanakan idea yang pelbagai dan baru tanpa dikongkong oleh idea lama. Oleh yang demikian, seseorang yang mempunyai pemikiran kreatif juga berfikiran terbuka dan sanggup menanggung risiko dan kritikan orang lain.

Di samping itu, imaginasi juga merupakan salah satu ciri pemikiran kreatif kanak-kanak. Pemikiran kreatif mengandungi ciri imaginasi yang mencapah serta kemahiran sintesis untuk mencantum idea-idea yang sedia ada agar menjadi idea atau hasilan yang baru. Kebolehan mengeluarkan pelbagai jenis idea dan berpandangan jauh serta sentiasa melangkah ke hadapan. Kanak-kanak yang mempunyai pemikiran kreatif juga dapat mengembangkan idea dengan cepat dan berkesan. Perkembangan idea ini dapat menyediakan pelbagai alternatif yang baru terutamanya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kebolehan kanak-kanak dalam meninjau sesuatu masalah dari beberapa sudut dan tidak tetap pada satu cara penyelesaian sahaja.

Menurut Wallas G (1962), pemikiran kreatif berlaku dalam beberapa proses mental dan dapat dibahagikan kepada empat peringkat iaitu penyediaan, pengeraman, ilham dan pengesahan. Dalam peringkat penyediaan, kanak-kanak bermula dari masa melakukan hingga hasil permulaan pemikiran yang sebenar. Proses ini perlu mengambil masa yang lama sekiranya terdapat halangan sebaliknya tidak mengambil masa yang panjang jika berlaku lonjakan kreatif. Walau bagaimanapun, peringkat ini kanak-kanak akan melibatkan sikap ingin tahu, minat, pengaruh peristiwa persekitaran dan kemudahan fizikal serta aktiviti seperti eksperimen dan percubaan.

Pada peringkat pengeraman pula, apabila menghadapi masalah yang rumit, kanak-kanak biasanya membuat penyelesaian hanya dapat diperolehi dengan berfikir dan menaakul selepas satu jangka masa yang lama. Dalam tempoh itu, kadang-kadang orang itu tidak memikirkan secara sedar tetapi ia tetap berfikir dan memerhati. Jangka masa berfikir di luar kesedaran ini disebut tempoh pengeraman (Mok Soon Sang, 2009).

Peringkat yang ketiga adalah ilham yang membawa maksud inspirasi. Peringkat ini berlaku setelah kanak-kanak berfikir dan cuba berkali-kali, idea atau penyelesaian kreatif akan terhasil. Kemungkinan ilham kanak-kanak akan terhasil secara spontan serta diiringi dengan semangat yang berkobar-kobar dan perasaan gembira. Biasanya, idea yang diperolehi itu mungkin hanya sebahagian ataupun menyeluruh tetapi tidak tersusun dan perlu diubahsuai untuk menjadi lebih bermakna.

Peringkat yang terakhir adalah pengesahan. Proses mental kanak-kanak akan menentukan sama ada idea atau penyelesaian yang diperolehi itu logik dan dapat diterima. Jikalau idea atau penyelesaian itu bertepatan, ia mungkin diperincikan. Idea abstrak pula ditonjolkan dengan simbol dalam bentuk yang konkrit. Dalam mencari pengesahan ke atas idea untuk penyelesaian, idea sampingan atau tambahan mungkin dihasilkan bagi menyempurnakan penyelesaian.

4.    PENGGALAKAN PEMIKIRAN KREATIF KANAK-KANAK SEKOLAH RENDAH
Justeru itu, peranan guru dalam menyemai kemahiran berfikir secara kreatif juga penting. Pelbagai cara boleh dijalankan untuk menggalakkan murid-murid berfikir secara kreatif. Guru perlu menyediakan soalan-soalan lisan secara spontan mengikut keperluan murid. Contohnya, guru mesti pandai mengubah dan meningkatkan darjah kesukaran soalan. Soalan yang diberikan mesti dari soalan yang senang kepada yang sukar. dan mengikut tahap dan kematangan murid. Guru perlu memupuk sifat ingin tahu murid dengan soalan-soalan unik dan yang tidak dijangka. Guru patut memberi ganjaran dan galakan kepada murid yang meluahkan idea yang kreatif seperti yang disarankan dalam amalan Guru Penyayang sekarang ini. Guru juga memastikan murid tidak bersifat terlalu introvert dan dikongkong.  Guru perlu menggunakan strategi pengajaran yang sesuai untuk merangsang pemikiran kreatif di kalangan murid seperti sumbangsaran, teknik bercerita, perbincangan, main peranan, berlakon dan sebagainya yang sesuai dalam pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, guru harus menggalakan murid melibatkan diri dalam lawatan-lawatan sambil belajar untuk memberi pendedahan terhadap kreativiti. Menurut Gardner (1993), sains, penerokaan dan muzium kanak-kanak menawarkan peluang-peluang untuk merangsang kreativiti.

5.    KESIMPULAN
Kesedaran dalam memahami konsep pemikiran kanak-kanak perlu ada kerana ini akan menggalakkan kanak-kanak untuk berfikir lebih jauh dan lebih matang dalam menyelesaikan masalah. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membimbing ke satu arah penyelesaian yang lebih baik menurut nilai moral masyarakat. Perubahan globalisasi sekarang ini menuntut kita lebih kreatif, kanak-kanak adalah aset penting supaya dapat meneruskan pembangunan minda yang positif untuk menghasilkan sesuatu yang baru atau inovatif.



b)            Huraikan satu strategi pengajaran yang berkesan untuk mempertingkatkan kreativiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

1.    PENGENALAN
Dalam organisasi sekolah, kreativiti dilihat sebagai satu kuasa atau dorongan yang penting bagi mencorakkan perkembangan kreativiti dalam pengurusan sekolah (Abdul Rahim Abdul Rashid. 2002). Pengurusan organisasi sekolah perlu kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang dinamis untuk mengembangkan pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia. Cabaran sekolah dan pendidikan dalam era perubahan k-ekonomi revolusi pengetahuan dan informasi maklumat memerlukan sekolah mengadaptasikan pelbagai perubahan yang berlaku (Harman, 1998). Wawasan dan misi sekolah perlu bersifat kreatif bagi menjadikan sekolah organisasi pembelajaran yang berkesan dan progresif (Wall, 1999). Pengurusan perubahan memerlukan organisasi sekolah memantapkan lagi wawasan organisasi yang mampu membawa dan menjadikan sekolah pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan, penyebaran idea baru dan menyuburkan pemikiran kreatif untuk perubahan sosial, teknologi dan membentuk masyarakat berpengetahuan (Fransman, 1999).

2.    JENIS PEMIKIRAN DAN STRATEGI PENGAJARAN
Mengikut kajian terdapat beberapa pemikiran dalam diri seorang manusia. Kanak-kanak tidak terkecuali dalam mengalami pemikiran yang sama. Bergantung kepada seorang guru untuk menyerlahkan dan mendedahkan murid kepada pemikiran-pemikiran tersebut. Peranan guru amat penting agar murid-murid yang diajar akan lebih kreatif dan boleh meningkatkan kraetiviti.

2.1          PEMIKIRAN MENDATAR ATAU LATERAL
Pemikiran mendatar atau lateral juga dikenali sebagai pemikiran analitikal. Pemikiran ini diperkenalkan oleh Dr. Edward De Bono. Pemikiran lateral ini adalah pemikiran yang melepaskan pemikiran berpandu dari keadaan masalah dengan melihat masalah yang dihadapi  dari pelbagai perspektif yang berlainan (Mok Soon Sang, 2011).

Pemikiran Lateral ialah satu cara penyelesaian masalah yang menggunakan daya imaginasi dan bukan secara logik atau tradisional. Ia adalah pemikiran yang menitikberatkan pelbagai jenis jawapan dan tidak menggunakan cara tradisional dan idea yang lama yang telah digunapakai. Pada masa yang sama ia juga bertujuan melepaskan diri daripada cengkaman persepsi-persepsi lapuk untuk mencari dan mencipta idea-idea baru. Secara keseluruhan, pemikiran lateral membawa maksud cara menyelesaikan masalah dengan menggunakan daya imaginasi dan bukan semata-mata dengan menggunakan logik atau cara-cara pemikiran yang biasa sehingga dapat menghasilkan pelbagai pendekatan yang kelihatan luar biasa tetapi amat berkesan (Atan Long, 1976).

Dalam pemikiran ini, seseorang melihat masalah yang dihadapi dengan perspektif-perspektif yang berlainan, maka masalah yang dihadapi senang diselesaikan. De Bono mengatakan bahawa terdapat empat faktor yang penting dalam pemikiran lateral. Pertama adalah mengenalpasti idea-idea dominan utama dalam masalah yang dihadapi, kedua ialah melihat masalah daripada pelbagai sudut yang berlainan. Faktor yang seterusnya ialah melonggarkan cara-cara pemikiran yang terkawal. Faktor yang terakhir adalah menggunakan idea-idea yang diberikan oleh orang lain. Bagi seseorang guru yang menggunakan pemikiran lateral ini adalah bertujuan untuk meransangkan pemikiran kreatif murid-murid apabila dalam kumpulan. Ini akan menggalakan mereka saling berhubung antara satu sama lain. Contohnya dalam aktiviti sumbangsaran setiap murid akan memberi idea masing-masing (Ragbir Kaur, 2012). 

Dalam proses pemikiran lateral, seorang guru haruslah menggalakan murid-murid untuk menyelesaikan masalah melalui pelbagai perspektif yang berlainan dengan memecahkan masalah kepada bahagian-bahagian yang kecil dan meletakkannya semula untuk melihat cara penyelesaian yang berbeza di samping membuat pertimbangan secara logik dan menyeluruh. Dengan melihat alternatif yang berbeza juga boleh membuat perbandingan dengan cara penyelesaian tradisional dalam menyelesaikan masalah. Seterusnya memilih cara penyelesaian yang terbaik dan dapat memberi manfaat kepadanya.

2.2          PEMIKIRAN MENEGAK
Pemikiran menegak juga dikenali sebagai  “ Vertical Thinking” yang menggunakan proses-proses akal yang tradisional dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Kebanyakan manusia menggunakan pemikiran menegak ini  hasilnya daripada pendidikan formal mereka. Maka, pemikiran ini juga juga dikenali sebagai pemikiran logik kerana ia menyelesaikan masalah dengan menggunakan urutan-urutan dan langkah-langkah yang sistematik. Contohnya pemikiran penaakulan yang meliputi pemikiran induktif dan pemikiran deduktif.

Menurut Santrock (2004), pemikiran penaakulan atau pemikiran logikal merujuk kepada satu sistem pemikiran yang mempunyai satu set peraturan rujukan yang membolehkan rumusan dibuat mengikut anggapan yang sahih. Ia berlaku dalam situasi yang memerlukan membuat  inferens  atau kesimpulan berdasarkan fakta, teori atau hukum yang sedia ada. Pemikiran penaakulan ini diklasifikasikan kepada dua iaitu pemikiran induktif dan pemikiran deduktif. Menurut Johnson-Laird (2000), pemikiran induktif adalah aktiviti memerhati, mengkaji dan mentafsirkan maklumat-maklumat atau data berdasarkan pengalaman, pengetahuan, teori atau hukum yang sedia ada. Kemudian menganalisis maklumat dan menaakul dalam mencari rumusan yang munasabah daripada tafsiran. 

Dalam pendekatan induktif, seorang guru akan mengajar bermula dengan memberi contoh-contoh tertentu berdasarkan sesuatu prinsip. Dari contoh yang diberikan, murid-murid akan membuat kesimpulan yang menyeluruh tentang konsep yang diajar oleh guru. Selepas itu, guru akan menyoal dan membimbing murid-murid dengan lebih lanjut untuk memperkuatkan kesimpulannya. Dalam pendekatan ini, murid-murid akan lebih menumpu perhatian semasa guru mengajar kerana penglibatan mereka secara aktif dalam proses pembelajaran. Dengan cara ini, pembelajaran dan pengajaran yang dijalankan tidak membosankan malah lebih berkesan.

Pemikiran deduktif pula menggunakan rumus, kesimpulan, prinsip, hukum, peraturan untuk menentukan penyelesaian situasi bermasalah yang khusus. Dalam pendekatan deduktif, seorang guru akan memulakan pengajaran dengan menjelaskan dengan teliti tentang rumus-rumus, prinsip, syarat-syarat, teori atau peraturan-peraturan untuk sesuatu konsep atau persoalan. Kemudiannya, rumus, prinsip atau syarat yang telah dipelajari akan diaplikasikan dalam contoh-contoh lain oleh murid-murid. Proses menyelesaikan masalah atau membuktikan hipotesis tidak terhad kepada menggunakan satu prinsip, rumus atau teori yang dipelajari. Tambahan pula, guru  tidak perlu menunjukkan cara menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membukti hipotesis, tetapi membimbing murid melalui aktiviti soal-jawab sehingga mereka menjalankan aktiviti penyelesaian masalah sendiri.

2.3          PEMIKIRAN KRITIS
Menurut Dewey (1993) berpendapat bahawa pemikiran kritis adalah berfikir secara serius atau mendalam dan seterusnya membuat pertimbangan daripadanya. Menurut Bloom (1956) menyatakan pemikiran kritis melibatkan aktiviti mental secara analisis, sintesis dan juga penilaian. Pada pendapat Jaafar (1995) pula, pemikiran kritis adalah pemikiran secara sistematik, secara universal dan radikal dalam menganalisis sesuatu secara mendalam. Menurut Scriven dan Paul (1995), pemikiran kritis ialah bentuk pemikiran yang sebaris dengan “modes of thinking” yang lain seperti pemikiran saintifik, matematikal, holistik, ekonomikal,moral dan juga kefalsafahan.

Seorang guru dalam pengajaran harus menggalakkan murid-murid memiliki pemikiran kritis bagi membantu murid-murid mengelakkan melakukan kesilapan semasa membuat sesuatu keputusan. Semua manusia perlu membuat keputusan daripada perkara yang kecil kepada yang besar. Misalnya memilih untuk mendapatkan keperluan untuk membuat sesuatu projek. Keperluan ini perlu dinilai dari segi keperluan kecil dan keperluan besar untuk dibuat keputusan. Oleh itu strategi penyoalan guru mesti lebih kritis supaya murid lebih terarah.

Secara azalinya orang di sekeliling kita juga mempengaruhi kita dalam membuat keputusan. Mereka mempengaruhi keputusan kita secara langsung atau secara halus. Semua ini mendorong kita menghasilkan keputusan yang tidak ingini sekiranya kita tidak memiliki asas yang kuat dalam berfikir secara kritis. Mengaplikasikan teknik-teknik berfikir secara kritis seperti menimbang sesuatu secara menyeluruh dengan minda yang terbuka dan menilai kejituan sesuatu hujah dapat membantu murid-murid lebih yakin dengan apa yang mereka lakukan dan membawa kepada keputusan yang lebih berkesan berdasarkan bukti-bukti yang konkrit dan jelas. Oleh kerana itu adalah penting bagi guru menggalakkan pemikiran dalam strategi pengajaran. Dalam mencapai keputusan dalam menyelesaikan masalah seorang guru harus mengaitkan bukti-bukti konkrit supaya murid dapat mencapai keputusan yang tepat. Di samping itu, kerja berkumpulan juga dapat menggalakan murid-murid berfikir secara kritis.

2.4          PEMIKIRAN DIVERGEN
Menurut kajian ahli-ahli psikologi, pemikiran divergen boleh diertikan sebagai pemikiran kreatif. Ini kerana pemikiran divergen sering kali digunakan digunakan untuk menghasilkan kreativiti. Ia memerlukan seseorang berfikir secara kreatif terhadap masalah yang unik dan mempunyai jawapan yang banyak dan pelbagai kemungkinan. Contohnya murid menjana seberapa banyak idea mengenai satu topik dalam satu masa yang ditetapkan. Dalam proses pemikiran divergen, seseorang individu tidak dikongkong oleh pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada malah berfikir secara kreatif untuk mencari cara atau idea baru yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang mempunyai pelbagai jawapan. Maka, pemikiran divergen pula dikenali sebagai pemikiran lateral atau mendatar. Pemikiran ini biasanya menggunakan unsur intuisi dan celik akal supaya masalah terbuka dapat diselesaikan dengan cara yang unik dan luar biasa (Mok Soon Sang, 2009).
Peranan guru dalam menggalakan pemikiran konvergen di kalangan murid-murid seperti memberi soalan-soalan tertutup yang menekankan satu jawapan atau cadangan dan cara penyelesaian sahaja. Guru juga boleh memberi aktiviti pembelajaran dengan arahan yang jelas, ringkas dan lengkap. Aktiviti pembelajaran lebih tertumpu kepada perkara-perkara fakta dan teknikal. Soalan-soalan yang dikemukakan perlu berasaskan hukum, prinsip atau konsep-konsep tertentu demi memperoleh jawapan yang tepat.

2.5          PEMIKIRAN REKA CIPTA
Menurut Kamus Dewan, reka cipta adalah barang atau sesuatu yang pertama kali dicipta dan merupakan satu ciptaan baru. Pemikiran reka cipta adalah sebagai pemikiran artistik iaitu individu  boleh menunjukkan kemahiran dan bakat semasa berfikir. Seseorang  yang mempunyai pemikiran reka cipta yang tinggi akan menunjukkkan sifat-sifat seperti mempunyai kemahiran psikomotor yang tinggi. Dalam masa yang sama, ia juga mempunyai kemahiran yang tinggi dalam komunikasi dan semasa berinteraksi dengan orang lain. Seseorang yang mempunyai pemikiran reka cipta ini juga boleh mampu dan boleh mencipta sesuatu yang unik dalam jangka masa yang pendek.

Dalam bidang pendidikan, pemikiran reka cipta amat penting dalam mata pelajaran seperti Reka Cipta, Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup, Kajian Tempatan, Sains, Pengukiran dan sebagainya. Dalam proses pembelajaran dan pengajaran, pendekatan holistik digunakan untuk membangunkan perkembangan spiritual dalam diri supaya ia selari dengan perkembangan intelektual yang dipelajari oleh murid-murid. Melalui mata pelajaran reka cipta, integrasi ilmu intelektual dan ilmu wahyu ini bertujuan untuk mendekatkan manusia kepada penciptanya yang menjadi asas untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif. Pengajaran yang berunsurkan holistik dan reka cipta adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang boleh merekacipta produk yang unik dan asli daripada proses pemerhatian terhadap ciptaan Tuhan di sekitar mereka. Pemerhatian ini seterusnya akan dapat membimbing pelajar untuk melahirkan rasa kekaguman kepada kekuasaan Tuhan dan penghayatan yang tinggi bagi membolehkan mereka melahirkan idea yang asli, kreatif dan inovatif (Ragbir Kaur, 2012).

Peranan guru dalam menggalakkan murid-murid dalam pemikiran reka cipta adalah semasa dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Guru perlu memilih strategi dan aktiviti yang boleh mempertingkatkan kemahiran koordinasi otak dan motor murid. Sebagai seorang guru boleh melibatkan koordinasi mata dengan kemahiran tangan dalam pengajarannya untuk menarik minat dan menggalakkan pemikiran reka cipta murid-murid.  Ini dapat merangsang perkembangan motor halus kerana ia memerlukan kemahiran penggunaan tangan yang terkawal dan otot jari. Untuk meningkatkan perkembangan kognitif, afektif, psikomotor, guru perlu memperbanyakkan aktiviti bermain sambil belajar. Contoh permainan melengkapkan “jigsaw puzzle” akan menggunakan pemikiran kognitif untuk mencari persamaan dan seterusnya menggunakkan tangan iaitu psikomotor untuk memadamkan kepingan ke atas papan jigsaw. Permainan yang lain seperti teka-teki dan “play dough”.
       
2.6          PEMIKIRAN CELIK AKAL
Menurut Kamaruddin Hj. Husin (1993), seseorang yang celik akal mempunyai beberapa dalam menyelesaikan masalah yang diperoleh secara tiba-tiba. Pemikiran celik akal bergantung kepada pengalaman dan pembelajaran yang sedia ada dan membolehkan seseorang menyusun semula struktur dalam fikirannya. Jika seseorang yang duduk diam bagi menyusun semula struktur fikiran yang sedia ada sebelum mendapat struktur baru dalam penyelesaian masalah. Melalui pemerhatian, seseorang akan memiliki pemikiran celik akal.

Pemikiran celik akal melibatkan gerak hati dan kebijaksanaan. Pemikiran celik akal membolehkan mental individu  yang abstrak untuk menyelesaikan masalah. Celik akal merupakan kebolehan melihat perhubungan di antara unsur-unsur di dalam satu situasi yang bermasalah. Kebolehan ini timbul secara tiba-tiba. Biasanya, celik akal dikenal sebagai pengalaman “Aha”. (Ragbir Kaur, 2012).
Antara  teknik-teknik yang boleh meningkatkan celik akal seperti yang dinyatakan oleh  Ee Ah Meng (1994) adalah membantu murid-murid memandang masalah secara keseluruhan. Kemudian masalah itu dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang kecil. Keupayaan melihat keseluruhan membolehkan murid-murid menggunakan perbendaharaan konsepnya untuk menyelesaikan satu-satu masalah.

Di samping itu, pengalaman murid-murid hendaklah diperluaskan dari semasa ke semasa. Guru boleh mengadakan pelbagai jenis aktiviti dan memberi pelbagai jenis masalah pembelajaran kepada murid untuk menyelesaikan. Cara yang seterusnya ialah membimbing murid-murid memperoleh celik akal dengan menggunakan soalan-soalan yang berturutan serta teratur. Selain itu, beri peluang kepada murid-murid menjalankan ujikaji atau eksperimen. Kemudiannya, bimbing mereka menganalisis rumusan tentang eksperimen tersebut. Malah guru juga boleh membantu murid-murid dengan memberi tunjuk ajar kepadanya tentang masalah yang dihadapi. Menarik perhatiannya kepada unsur-unsur penting . Boleh juga adakan demontrasi semasa menyampaikan satu-satu kemahiran atau konsep yang baru. Sambil menjalankan tunjuk ajar, soalan-soalan yang baru hendaklah dikemukakan bagi membantu murid-murid memahami secara mendalam setiap perbuatan guru di dalam tunjuk ajar itu. Tambahan pula, murid-murid hendaklah dilatih membuat andaian-andaian serta mengujinya. Latihan seperti ini mempercepatkan murid-murid melihat perkaitan di antara unsur-unsur yang relevan di dalam sesuatu masalah. Selain itu, guru perlu memastikan semua murid-murid bersedia dari segi mental, emosi dan jasmani semasa proses pengajaran. Murid-murid yang berminat serta bermotivasi tinggi terhadap pelajaran tersebut biasanya akan memperoleh celik akal dengan lebih cepat. Malah, ketika mengajar, guru haruslah memberikan penerangan yang jelas, teratur dan disertai dengan contoh-contoh yang relevan. Keadaan seperti ini dapat membantu murid-murid memperoleh celik akal dengan lebih mudah ketika menghadapi masalah. Guru mesti menggunakan perbendaharaan kata yang jelas, mudah difahami dan dibantu dengan gambar, audio serta pengalaman secara langsung daripada pelajar dalam pengajarannya. Perkara yang hendak disampaikan mestilah mudah difahami dan sesuai.

3.    KESIMPULAN
Kreativiti merupakan penyumbang ke arah perubahan organisasi, perkembangan dan pembangunan negara. Bagi menghasilkan sebuah organisasi pembelajaran yang kreatif dan inovatif faktor-faktor yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan organisasi, kepimpinan, budaya, teknologi, pemikiran, strategi pembelajaran, penyelesaian masalah dan juga komunikasi terbuka.

Kreativiti yang dibentuk atau dibina perlulah bersesuaian dengan keperluan dan kehendak masyarakat, individu dan juga negara. Ianya juga hendaklah bebas daripada sebarang kebimbangan dan ketakutan yang merupakan prasyarat untuk mengembangkan potensi murid yang seharusnya mempunyai daya kreativiti yang aktif dan berdaya maju. Individu yang bersifat kreatif perlu diberi ganjaran dengan sepatutnya supaya bakat yang ada tidak dipersiakan begitu sahaja.
  

BIBLIOGRAFI
Atan Long. (1976) PsikologiPendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Connell ,W.F . (1981) . Asas Pendidikan . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Rahil Hj Mahyuddin, Abd Majid Mhd Isa & Zaidatol Akmaliah (1995). Asas Pendidikan ll   (Psikologi Dalam Bilik Darjah). Serdang Raya, Selangor. Penerbit Longman Malaysia       Sdn. Bhd.
Mok, S. S. (2011). Psikologi Pendidikan (2nd ed). Puchong Selangor : Penerbit Multimedia Sdn Bhd.
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD). 2012. Pedagogi (Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI). Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi pertama. (m.s:46 -80).

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. 2009. Siri pendidikan Guru (Murid dan Alam Belajar). Oxford Fajar Sdn Bhd. (m.s: 197-204).