KKD3063i

1a. Huraikan satu isu yang melanggar etika profesion perguruan

1a.i.            Pengenalan
Setiap profesion yang mengarah kepada standard profesional sememangnya mempunyai satu kod etikanya yang tersendiri mengikut kesesuaian tugas yang digalasnya. Setiap kod etika ini adalah panduan kepada setiap warganya supaya menepati kehendak dan objektif profesion tanpa mengira tahap kedudukan jawatan dalam satu-satu organisasi. Kod etika ini juga bertujuan melindungi penjawat profesion tersebut dari melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan profesion serta memburukan namanya. Profesion yang disusunatur dan dijalankan dengan baik akan meningkatkan martabatnya.
Konsep profesionalisme boleh disimpulkan sebagai ‘Suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai otonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya’(Mok Song Sang:1996).
Bidang keguruan sememangnya satu profesion yang menepati standard profesional kerana seorang guru secara khususnya mesti menerima latihan perguruan sebelum ditauliahkan sebagai seorang guru. Latihan ikhtisas ini dijalankan menjurus terus ke bidang keguruan dan diberi pengiktirafan peringkat Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan sebelum seorang guru diserap untuk mendidik di mana-mana sekolah.
1a.ii.           Memartabatkan Profesion Keguruan
Dalam merealisasikan kehendak Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan, profesion keguruan mendokong tugas utama untuk memastikan ianya tercapai. Sehubungan dengan itu, ciri-ciri guru berkualiti dituntut untuk memartabatkan profesion keguruan.
Martabat didefinisikan sebagai darjat atau pangkat dan diperakui oleh masyarakat. Bagi memartabatkan profesion keguruan pula memerlukan pendidikan, kecekapan, bertanggungjawab dan berkemahiran tinggi dalam hal-hal yang berkaitan dengan tugas dan pekerjaan. Amanat Menteri Pelajaran 2008 menyentuh isu tentang Teras dalam PIPP yang ke lima iaitu Memartabatkan Profesion Keguruan menyatakan “Hanya mereka yang mempunyai kualiti, ketrampilan, kewibawaan, kelayakan, minat, iltizam dan berjiwa pendidik layak menjadi guru”. Usaha ini terletak kepada guru sendiri dan untuk itu guru mesti memiliki sahsiah diri yang tinggi supaya gambaran imej serta nama baik profesion keguruan dapat dimartabatkan.
1a.iii.          Kod Etika Perguruan
Penekanan kepada perkembangan murid secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) yang diinterpertasikan dari Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menuntut guru perlu menjadi seorang pakar atau profesional dalam segala bidang. Menurut Robiah (1998), seorang guru harus menekankan tiga aspek penting iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah. Dengan itu, guru harus mahir dalam mengajar dan memperkembangkan ilmu sambil bersikap jujur, bersahsiah mulia serta disiplin diri yang tinggi.
Banyak yang dituntut daripada seorang guru menurut kod etika. Kawalan kod etika kadang-kadang menjadikan seorang guru menjadi luluh dalam perjuangannya untuk mencapai tahap tinggi dalam mendidik murid-murid. Tanggungjawab kepada murid, ibu bapa, masyarakat, negara dan rakan sejawat yang diletakkan dibahu seorang guru menjanjikan senarai panjang etika yang perlu dipatuhi. Profesion keguruan ini yang melibatkan pembangunan insaniah seorang manusia demi masa depan memberi banyak tekanan kepada guru dari segala aspek.
Antara senarai panjang etika yang tersebut ialah orang percaya kepada guru. Tahap kebolehpercayaan ini meletakkan guru berada digarisan tengah untuk melaksanakan tugasnya agar tidak ada mana-mana pihak mempergunakan kedudukan guru untuk tujuan peribadi atau organisasinya. Walaupun begitu, keadaan semasa menjadikan seorang guru hilang keteguhan diri lalu terjerbak dan akhirnya melanggar etika profesion perguruan.
1a.iv.          Isu Tekanan
Isu tekanan merupakan satu isu yang sering melanda dalam profesion keguruan. Tekanan adalah seperti penyakit yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa disedari. Banyak faktor yang boleh menyebabkan tekanan dan pelbagai masalah juga akibat daripada tekanan.
Gaya kehidupan seseorang, persekitaran dan kehendak diri adalah di antara penyebab tekanan dialami oleh seseorang. Apabila seseorang mengalami tekanan, maka dia mula mencari jalan keluar atau mengalami kemurungan. Tekanan sering dikaitkan dengan kesihatan mental. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan tekanan adalah satu perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang mengalami tekanan. Norani (1994) menyatakan tekanan ini tidak semestinya negatif atau tidak sihat. Sebenarnya ia merupakan proses semulajadi yang perlu dijangkakan dalam hubungan sesama manusia. Sigmund Freud menyatakan manusia dilahirkan dengan desakan naluri yang semulajadi. Fahaman ini berpendapat bahawa manusia tidak rasional, tidak sosial dan penuh dengan desakan yang merosakkan dirinya dan manusia sebagai individu tidak dapat membawa arah kepada nasib haluannya.    
Tekanan tugas berpunca daripada suasana kerja, peranan, perhubungan, kerjaya dan perubahan dalam organisasi. Tekanan tugas yang berlebihan ini boleh memberi kesan negatif dan ditambah pula dengan masalah peribadi serta keluarga akan merumitkan lagi kesihatan mental. Apabila tekanan mental ini berlaku seseorang mula mengalami tanda-tanda dengan bersikap ganas, gelisah, terganggu selera makan, hilang tumpuan, kemurungan, kerisauan, lesu, mabuk dan mengalami perasaan bersalah. Tanda-tanda inilah titik permulaan berlakunya konflik dalam dirinya yang mengakibatkan banyak masalah dan salah satu daripadanya melanggar etika profesion keguruan.
Tugas guru yang meningkat dewasa ini menjadikan guru juga boleh menjadi mangsa tekanan. Ditambah lagi dengan kehendak hidup terutamanya keperluan harian, perkembangan modenisasi dan faktor keluarga memburukan lagi keadaan. Tekanan yang dialami oleh guru sekarang ini telah menjadi bahan kajian ilmiah dan kajian ini mendapati bahawa profesion keguruan adalah salah satu kerjaya tekanan kerja yang tinggi (Cooper 1995, Hart et al.,1995). Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah menyatakan kebimbingan mengenai tahap tekanan yang dialami guru di Malaysia semakin meningkat akibat beban tugas yang semakin berat dan dasar pendidikan yang berubah-ubah.
Tekanan telah mengakibatkan penglibatan guru dalam kes-kes salahlaku. Penglibatan dalam kes penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah, jenayah kolar putih, rogol dan cabul, senjata berbahaya malah melapaui sehingga kes bunuh. Puncanya tekanan yang dialami guru tidak lagi dapat dibendung. Apakah punca sebenar bagi masalah ini? Masyarakat pula hanya memandang guru dan keguruan sebagai punca kerosakan masyarakat, tetapi tidak pernah memikirkan bahawa faktor kehendak masyarakat adalah salah satu punca. Pengaruh-pengaruh luar seperti politik, perkauman, penerimaan masyarakat dan sebagainya telah memasuki organisasi keguruan. Kemasukan pengaruh ini bukan untuk menyokong organisasi keguruan malah pengaruh ini lebih kepada kepentingan diri sendiri. Abraham Maslow (1954) tidak menolak tentang warisan manusia terdapat kejahatan. Pada pendapat beliau kejahatan ini disebabkan oleh persekitaran yang tidak sempurna. Akibat tiada jalinan persefahaman antara masyarakat dengan organisasi keguruan maka wujudlah unsur yang dikatakan oleh Abraham Maslow. Masyarakat kurang yakin kepada guru dan berpendapat bahawa guru akan mengubah acuan masyarakat mereka. Maka timbullah konflik antara guru dengan masyarakat. Guru pula tersepit di antara kehendak dasar keguruan dan kehendak masyarakat. Lebih menyukarkan lagi jika ianya bertukar kepada bentuk ancaman.
Perkara-perkara sebeginilah yang boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan membatutkan usaha untuk membawa masyarakat ke tahap pendidikan cemerlang. Kyriacou dan Sutcliffe (1978) menyatakan bahawa tekanan guru ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif, kebimbingan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek tugas. Perubahan yang berlaku kepada dasar pendidikan yang bukan sahaja menuntut guru memberi ilmu pengetahuan malah memperkembangkan ilmu itu serta mendidik pelajar menjadi insan yang berguna. Kesannya kepada guru terpaksa berkerja lebih masa, perkeranian, menyediakan bahan bantu mengajar, menghadiri kursus atau bengkel dan melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang terkini. Sekiranya pula guru itu bertugas di sekolah berasrama pula maka tugas guru akan turut bertambah. Kawalan keselamatan 24 jam, kebajikan murid, ibu bapa kedua serta menjadi paramedik. Di samping itu, tekanan ini menyebabkan tahap mental guru menjadi tidak terkawal dan terdedah kepada gejala-gejala negatif sebagai tindak balas kepada tekanan yang dihadapi. Justeru itu, berkemungkinan besar guru bertindak secara tidak dapat diterima akal seperti mendera, menengking dan menghamburkan kata-kata kesat kepada murid. Tindakan ini pastinya menjejaskan profesionalisme sebagai seorang guru. Tidakan tidak terkawal ini memungkinkan rekod bersih tercalar dan diakhiri dengan tindakan disiplin sebagai hukuman.
Kekangan tugas dan pelbagai masalah yang dihadapi guru menyebabkan guru hilang tumpuan untuk menjalankan tugas, sukar berkomunikasi dengan murid dan ibu bapa, tidak dapat memberi motivasi kepada murid dan sukar untuk mengesan perbezaan murid. Perkara-perkara ini adalah hal yang jelas apabila guru mengalami kemurungan. Bagaimana pula jika guru itu sendiri kecewa dengan dirinya sendiri? Menurut Glasser (1986) dan Ahmad Jazimin (2010), keinginan psikologi merangkumi seseorang individu yang menyanyangi dan ingin disayangi oleh orang lain, ingin penghargaan daripada orang lain, inginkan kebebasan dan inginkan kegembiraan. Rasa ingin penghargaan merangkumi keperluan ke arah pencapaian, berkemahiran, cekap, mempengaruhi orang lain, ingin dihargai dan suka bersaing dengan orang lain. Guru juga tidak lepas daripada semua ini kerana guru juga manusia yang perlu dihargai atas pencapaiannya, bersaing untuk mendapat pencapaian terbaik, berkemahiran dalam tugas sebagai seorang pembimbing dan pendidik serta cekap melaksanakan tugasan. Sekiranya psikologi ini dipenuhi pasti kadar tekanan yang dialami akan berkurangan dan kekecewaan guru akan dapat dibendung. Pihak pengurusan seharusnya sedar tentang perkembangan dalam proses kepimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan kehendak matlamat pendidikan. Kesedaran pihak pengurusan pasti akan mengurangkan kebimbingan dan tekanan jiwa guru tentang kemahuan yang sukar untuk dicapai dalam masa singkat. Di samping itu, kesedaran pihak pengurusan akan dapat mengawal guru yang gagal mengendali tekanan lantas dapat meningkatkan mutu pendidikan.
  
1b. Huraikan dua kesan isu tersebut kepada sahsiah seorang guru.

Isu tekanan terhadap guru salah satu punca utama guru melanggar etika profesion perguruan. Hasil kajian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang melibatkan 5364 guru dalam masa 2 tahun terdapat 1288 orang guru mengalami sakit mental. Daripada jumlah itu, 169 orang mengalami psikosis dan 1119 orang mengalami neurosis. Tekanan berlaku apabila unsur-unsur yang mendesak atau menekan melebihi keupayaan untuk menanganinya. Tekanan mental adalah hasil hubungan antara peristiwa-peristiwa persekitaran dengan individu. Tekanan mental adalah sebahagian daripada kehidupan harian. Ia merujuk kepada kaedah yang menyebabkan ketenangan individu terasa diancam oleh peristiwa persekitaran dan menyebabkan individu tersebut bertindak balas. Kita boleh mengalami tekanan ketika di tempat kerja, menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, atau melalui hubungan sosial. Tekanan yang sederhana boleh menjadi suatu bentuk dorongan yang kuat. Ia dapat menolong tubuh dan minda kita untuk bekerja dengan baik dan menyumbang kepada kesihatan mental. Tekanan luar biasa yang berpanjangan dan keterlaluan merupakan sesuatu yang merisaukan. Perubahan-perubahan besar dalam kehidupan seseorang adalah punca tekanan mental yang paling lazim. Peristiwa-peristiwa negatif seperti kematian atau dibuang kerja boleh mendatangkan tekanan mental. Ia mempunyai kesan-kesan psikologi yang negatif dan memberi kesan buruk kepada fungsi jantung, sistem penghadaman dan rangka otot. Ini akan membawa kepada beberapa penyakit seperti ulser perut, tekanan darah tinggi dan migrain. Perasaan ini mungkin berkekalan. Tekanan menyebabkan beremosi, resah dan sukar memberi tumpuan. Dalam jangka masa panjang, tekanan boleh membawa kepada masalah kemurungan, perhubungan dan mengganggu kualiti kerja.
1b.i.            Kesan salahlaku terhadap murid
Apabila guru mengalami tekanan maka orang yang paling malang sekali ialah murid-murid guru tersebut. Kesan tekanan akan dialami oleh murid-murid juga sekiranya rakan sejawat atau pihak pentadbir gagal mengesan keadaan kewarasan guru. Dewasa ini, kes-kes yang melibatkan seks oleh guru selalu dilaporkan sebagai contohnya isu gangguan seksual iaitu mencium murid yang dilakukan oleh guru yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro yang bertarikh 22 Julai 2010 telah menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan disegenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru yang berumur 50 tahun yang mencium murid tahun satu, menunjukkan bahawa guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan dengan membuat gangguan seksual ke atas muridnya. Gangguan seksual yang dilakukan oleh guru ini menunjukkan tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid dibawah jagaan mereka. Ini memberikan gambaran bahawa sekolah bukan lagi institusi yang selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru. Gangguan seksual contohnya cabul (mencium) adalah satu isu tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru terhadap muridnya sehingga murid tersebut takut untuk ke sekolah. Keselamatan murid tersebut telah terancam kerana perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut sangat keterlaluan.  Menurut Koss (1990), murid yang mengalami gangguan seksual iaitu dicium seringkali merasa diri mereka sebagai mangsa dan menukar corak hidup mereka menjadi pendiam, kurang bergaul dan sebagainya. Murid yang menjadi mangsa ini melarikan diri dari keadaan tersebut menyebabkan peluang untuk belajar mereka rosak dan menjejaskan masa depan mereka. Mangsa mengalami tekanan emosi dan jiwa yang tinggi sehingga mangsa cuba membuat perkara yang tidak diingini contohnya membunuh diri dan sebagainya.
Sahsiah guru yang tercalar ini akan terus menular kepada guru lain dari mana mangsa gangguan seksual akan phobia dengan guru terutama guru lelaki. Hal ini juga melibatkan guru perempuan yang dianggap tidak melindungi murid perempuan. Penilaian terhadap sahsiah guru keseluruhan menjadi sindiran sinis semua pihak.
 1b.ii.           Kesan melibatkan organisasi sekolah
Kesan yang menimpa sekolah ialah reputasi sekolah  atau nama baik sekolah akan menurun. Ini menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Selain itu, sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Sekolah juga dilabel sebagai tempat yang tidak bermoral kerana membiarkan masalah gangguan seksual berleluasan secara tidak terkawal walaupun cuma seorang guru yang melakukannya. Di samping itu, hubungan ibu bapa dan guru menjadi rengang dari mana ibu bapa tidak lagi mempercayai kredibiliti guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna.

Paling tidak diingini ialah masyarakat akan memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah. Tambahan lagi, ibu bapa yang tidak puas hati dengan layanan guru terhadap anaknya, pastinya menyalahkan guru sehingga guru tersebut dibenci dan dicemuh oleh masyarakat yang lain. Selain itu, ibu bapa akan membawa isu gangguan seksual ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapat keadilan bagi pihak anak mereka. Tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru ini menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh masyarakat.  Masyarakat tidak lagi mempercayai kepada profesion perguruan sehingga menyebabkan profesion ini tidak lagi diperlukan oleh masyarakat. Selain itu, profesion perguruan tidak lagi dianggap mulia oleh masyarakat dari mana mereka tidak lagi mempercayai bahawa profesion ini dapat membantu anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang selamat dan berkesan.

Keadaan lain pula, generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini mengakibatkan profesion ini kekurangan generasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Di samping itu juga, hal ini menyebabkan kerajaan tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.

1b.iii.          Kesimpulan
Kesan-kesan ini tidak lebih dari membunuh profesion keguruan. Guru-guru yang berkaliber, dedikasi dan penuh komitmen terkena tempias juga. Lebih penting lagi ialah masa depan negara kerana guru dan murid berkait rapat untuk menjulang nama negara sebagai negara yang maju dengan acuannya sendiri.
Pihak pengurusan juga harus memainkan peranan penting dalam mengurus kes-kes sebegini. Organisasi akan ranap jika tindakan segera tidak dilakukan lebih awal. Standard pemilihan kelayakan guru tidak ada salahnya, cuma apabila seseorang individu telah menjadi guru maka perlulah dirancang dengan baik pembahagian tugas guru. Guru yang tidak mengalami masalah akan memperkuatkan lagi organisasi bukan hanya meningkatkan prestasi.
1c. Kaitkan isu tersebut dengan satu Teori Pembangunan Sahsiah
Isu-isu sahsiah guru yang melanggar etika keguruan disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh guru sememang ada puncanya. Punca-punca asas yang menyebabkan tekanan kepada guru ialah tekanan kerja, diri sendiri dan keluarga. Tekanan kerja kerana tugas dan tanggungjawab yang tidak tertangung oleh guru. Diri sendiri pula melibatkan tekanan perasaan kecewa, mungkin kehilangan atau keperluan tidak dipenuhi. Manakala tekanan keluarga pula mungkin kurang persefahaman, curiga atau sebab-sebab penceraian. Perkara-perkara ini harus dikaji dan difahami terlebih dahulu sebelum menghukum seseorang guru. Organisasi guru seharusnya membantu dan bukan terus menempelak guru tersebut.
Sebelum kita dapat memahami seseorang individu, kita perlu mengkaji dan memahami tingkah laku serta tindak balasnya dalam satu-satu situasi. Kajian yang dibuat secara sistematik dan saintifik terhadap tingkah laku manusia disebut psikologi. Perkataan ini berasal dari tamadun Greek purba iaitu psyche yang bererti ‘jiwa’ dan perkataan logos yang bererti ‘kajian tentang sesuatu’. Salah satu teori yang boleh kita gunakan dalam kajian ini ialah Teori Hierarki Keperluan Maslow.
 Teori Hierarki Keperluan Maslow
Sememangnya diakui bahawa manusia sebagai makhluk yang paling tinggi mempunyai keperluan yang kompleks.   Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat.  Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu.  Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi.  Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri. Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat seperti rajah berikut;


Model Hierarki Keperluan Maslow

i.           Keperluan Fisiologi
Menurut Maslow, pada peringkat ini individu memerlukan keperluan paling asas. Keperluan ini merangkumi keperluan untuk mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. Bagi seorang guru mungkin keperluan sudah dipenuhi. Tapi harus diingatkan bahawa di sesetengah tempat terdapat kesukaran untuk memenuhi keperluan ini. Bagi kawasan bandar, mungkin makan dan minum agak mudah didapati. Tetapi kos tempat tinggal yang tinggi menyebabkan guru sukar untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih baik mengikut statusnya. Guru yang sering memikirkan status ini merasa agak kecewa dan boleh menyebabkan rasa tidak berbaloi untuk menjadi seorang guru. Bagaimana pula guru itu berada di kawasan pendalaman? Kawasan pendalaman sekiranya seorang guru itu tidak dapat mengadaptasikan dirinya, maka keperluan asas ini pastinya tidak dapat dipenuhi. Oleh sebab itu, beberapa tahun sebelum ini kebanyakan guru merasa takut malah tidak mahu ditempatkan di kawasan pendalaman atau luar bandar. Ini juga salah satu contoh guru yang melanggar etika keguruan. Kekurangan ini pastinya akan menyebabkan guru rasa tertekan.

ii.          Keperluan Keselamatan
Aspek keselamatan amat penting dalam hidup manusia sejak dari kecil lagi.  Demikianlah tiap-tiap individu memerlukan keperluan ini tetapi dengan kekuatan yang berbeza-beza. Ada individu yang kurang mempunyai keperluan ini dan menjadikannya lebih gemar bersendirian, tetapi ada individu yang mempunyai keperluan ini dengan kuatnya sehingga menjadikannya bergantung di dalam banyak hal kepada orang lain. Keperluan ini juga diperlukan oleh seorang guru. Seorang guru yang merasa dirinya terancam akan mengemukakan pelbagai alasan untuk melepaskan diri dari ancaman tersebut. Bagi anak-anak kecil, ia boleh bergantung kepada ibu bapa atau penjaga ataupun orang dewasa lain. Tapi bagi orang dewasa seperti guru, kebergantungan ini semakin kurang dan inilah salah satu punca kes-kes melanggar etika sering berlaku. Alasan dengan perbuatan salahlaku dilakukan untuk mendapat perhatian pihak atasan dengan harapan perpindahan dibuat. Walaupun di sekolah keselamatannya terjaga, tetapi apabila di luar kawasan sekolah keselamatan guru adalah tanggungan sendiri. Sering kita dengar terutama sekolah di bandar, guru tidak endahkan pelajar sama ada menumpukan kepada pelajaran atau tidak. Sikap pelajar yang tunjuk lagak dan pihak ibu bapa yang menyokong anak mereka seratus peratus menjadikan guru tidak ada peluang untuk mendidik anak mereka dengan baik. Akhirnya guru juga yang dipersalahkan kerana kegagalan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Pihak yang tidak memahami akan terus menekan guru atas perkara ini. Guru yang tidak dapat menerima akan rasa tertekan kerana keselamatan fizikal dan mental sentiasa terancam.
iii.         Keperluan Kasih Sayang
Berdasarkan Teori Maslow, keperluan ini ialah untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri. Ini juga salah satu punca guru melanggar etika keguruan. Guru juga perlukan kasih sayang dari keluarganya, rakan dan organisasinya. Melalui cara ini, guru akan merasakan dirinya diterima, disokong, dihormati, serta dihargai. Secara tidak langsung, proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik, harmonis, lancar, dan berkesan  kerana masing-masing telah dapat memenuhi keperluan kehendaknya. Keperluan ini menjadi motivasi kepada guru untuk terus berkhidmat dengan cemelang.
iv.         Keperluan Penghargaan Kendiri
Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah penerimaan. Penerimaan oleh keluarga, rakan guru dan organisasi amatlah penting. Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu  sebagai manusia unik yang bebeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan kemahiran. Penerimaan bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima diri mereka sendiri. Penerimaan penting supaya tidak terasa tersingkir. Setiap individu memerlukan penilaian yang tinggi dan stabil tentang diri mereka. Terlebih dahulu seseorang itu perlu menghormati dirinya sendiri dan berusaha pula menjadikan dirinya dihargai oleh orang lain.  Faktor yang penting ialah keperluan ini dapat dipenuhi apabila seseorang itu mempunyai keyakinan diri, kebebasan, pengiktirafan, perhatian dan penilaian diri orang lain.  Konsep ego seseorang itu berkait rapat dengan perasaan penghargaan diri. Guru yang memenuhi keperluan ini merasakan dirinya sentiasa diterima dan berkeyakinan. Sekiranya unsur ini tidak dipenuhi, maka secara negatifnya guru tersebut akan memikirkan dirinya tidak berapa diperlukan.
v.          Keperluan Kesempurnaan Kendiri
Konsep kendiri ialah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa (Shaffer,1985). Penyataan ini memberi maksud bagaimana seorang individu itu menganggap dirinya. Kesempurnaan kendiri bermakna apa yang seseorang boleh jadi, ia akan jadi. Tanggapan dan pendapat ini berdasarkan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya. Kesedaran ini diketahui dari maklumbalas, gerakbalas atau reaksi individu lain sepanjang pergaulan atau interaksi dengan individu lain. Seseorang yang telah mencapai peringkat ini telah dapat memenuhi keperluan untuk mendapatkan keindahan dan estetika. Dia telah dapat dengan sepenuhnya akan makna hidup, dapat menerima keadaan dirinya dan orang lain, gembira tentang nikmat hidup dan telah menggunakan kebolehannya dengan semaksimanya.
Namun begitu, guru yang mencapai tahap ini boleh berubah kepada unsur negatif. Terlalu yakin pada akhirnya membawa ia melakukan kesilapan kecil yang boleh dilihat oleh individu lain. Bukan itu sahaja, mungkin dia boleh berubah apa bila harapan untuk menikmati hasil usahanya tidak mendatangkan penghargaan. Guru tersebut mungkin akan merasa tidak berbaloi dengan peningkatan usahanya.
  

Kesimpulan
Seorang guru harus sedar kepentingan dirinya terhadap tugas dan tanggungjawabnya. Jika kepentingan diri diutamakan maka kepentingan lain akan diabaikan. Seorang guru seharusnya lebih fleksibel dalam kehidupannya sebagai seorang pendidik. Sikap menerima keadaan akan memberinya perasaan bersyukur dan menambahbaik jika kemampuan membenarkan.
Kesedaran guru tentang masyarakat sekitar harus dipertingkatkan agar segala tekanan dari pihak luar dapat dielakkan. Guru sepatutnya mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi untuk menyampaikan maklumat tentang tujuannya untuk melaksanakan tugas. Namun begitu, masyarakat umum harus memberi peluang kepada diri mereka untuk menerima institusi pendidikan sebagai kepentingan bersama.
Pihak pengurusan juga sepatutnya turun padang untuk mengetahui keadaan sebenar guru-guru di sekolah. Sepatunya pihak pengurusan memikirkan situasi bebanan tugas guru untuk mendidik pelajar lebih sukar dari apa yang dikatakan “Yakin Boleh”. Keadaan tempat dan individu berbeza harus juga diterima kerana ini akan memberi eksperimen baru kaedah yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran. Penilaian prestasi sekolah yang dinilai melalui pencapaian akademik masih lagi sukar diterima kerana perlaksanaan ini masih belum sesuai di sesetengah tempat. Bukan itu sahaja, penilaian beginilah yang sering menekan institusi sekolah sehingga guru-guru terasa tertekan.
 Bibliografi
Atan Long (1976).  Psikologi Pendidikan.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa   dan Pustaka.
Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996).  Motivasi Dalam Pendidikan. Kuala  Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Salleh Lebar (1993). Bimbingan Dan Kaunseling: Tugas Guru dan Kemahiran Asas. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Mastura Hj. Harun dan Mohd Fadhil Che Din (2000). Kepimpinan dan Kaunseling Kelompok. Selangor Darul Ehsan : Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Rahmattullah Khan Abd Wahab Khan dan Mohd Aziz Shah Mohd Arip (2011). KKD 2063  Pembangunan Sahsiah:Modul Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) : Perak : Universiti  Pendidikan Sultan Idris.
http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_kesihatan/tekanan_mental.htm