KKD3063k
Huraikan lima
aspek ciri guru yang berkesan dalam pengajaran berdasarkan nilai-nilai Bitara.
2.1 PENGENALAN
Pembangunan sahsiah merangkumi
penampilan fizikal, sikap, tingkah laku, pemikiran, perasaan, sosial dan rohani
individu. Berdasarkan kesemua aspek tersebut, seseorang individu boleh dinilai
sahsiahnya. Selalunya individu yang mempunyai sahsiah yang baik menunjukkan
penampilan fizikal yang kemas, sikap yang beramah mesra, tingkah laku yang
boleh diterima oleh norma dan nilai masyarakat, dapat mengawal perasaan diri,
boleh bergaul mesra dengan orang lain serta memegang kepada nilai agama
sendiri. Manakala, individu yang dikatakan mempunyai sahsiah yang bermasalah
lebih cenderung kepada masalah disiplin, tingkah laku devian, penyalahgunaan
dadah dan memegang nilai-nilai atau budaya yang bercanggah dengan norma
masyarakat.
Pembangunan sahsiah merupakan satu
fokus yang begitu penting terutamanya dalam konteks pendidikan yang melibatkan
para pendidik. Menurut Abdul Jalil (1998), pembangunan sahsiah yang sempurna
sebagaimana yang dikehendaki oleh ajaran agama dan nilai-nilai budaya dalam
masyarakat dengan pembangunan intelektual merupakan kejayaan kepada masyarakat
dan negara. Ia merupakan satu wadah pengisian dalam kehidupan individu yang
melibatkan aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi iaitu selaras dengan
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sahsiah adalah
perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud keperibadian atau peribadi (Kamus
Dewan, 2011). Maksud peribadi pula ialah manusia sebagai diri sendiri,
sifat-sifat (kelakuan, sikap) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri
untuk membentuk watak dirinya. Ia juga menggambarkan sifat personaliti unik
individu yang membezakan dirinya dengan individu yang lain (Cloninger, 2008).
Menurut Siti Fatimah (1993), sahsiah merujuk kepada sistem tingkah laku
individu. Ini bererti setiap individu ada cara bertindak yang tersendiri dan
cara bertindak itu adalah lebih kurang sama dari sehari ke sehari. Namun, Abdul
Majid dan Rahil (1995) mendefinisikan sahsiah sebagai perkaitan antara
penilaian, perasaan, emosi dan perlakuan manusia.
Sahsiah atau personaliti adalah
corak keseluruhan seseorang individu yang merangkumi cara seseorang berfikir,
berasa, bertingkah laku dan berhubung dengan alam sekitarnya (Ee Ah Meng,
1999). Selain itu, sahsiah juga merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang
individu secara keseluruhan. Ini merangkumi perangai, kecerdasan, sentimen,
sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan nilai-nilai. Allport (dalam Cloninger,
2008) menyatakan sahsiah adalah organisasi dinamik sistem psikofizikal pada
seseorang individu yang menentukan tingkah laku dan fikirannya yang khusus.
Sahsiah manusia boleh diperhati, dikenalpasti dan diperihalkan (Asmah dan
Herman, 1995). Pembangunan sahsiah merujuk kepada aspek perubahan pada diri
manusia itu sendiri sama ada perubahan itu ke arah positif atau negatif (Wan
Azmi, 1992). Perubahan yang positif akan membentuk individu yang berdikari
dengan segala nilai positif yang murni. Pembangunan sahsiah juga membawa makna
membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat menjadikan seseorang
itu bertamadun, intelek, murni dan berdaya maju (Mohd Nasir et al. 2006). Maka,
fokus pembangunan tersebut merangkumi tingkah laku secara keseluruhan sama ada
dalaman atau luaran.
2.2 NILAI-NILAI
BITARA
Bitara membawa
maksud unik, unggul, tiada tolok bandingannya dan lain dari yang lain. Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggariskan 6 nilai yang membentuk personaliti
Bitara yang mesti dimiliki oleh staf dan juga para pelajarnya. 6 nilai yang
telah dinyatakan tadi ialah: integriti, profesional, semangat berpasukan,
berorientasikan pelanggan, prihatin kebajikan anggota dan bersikap kreatif dan
inovatif.
2.2.1 INTEGRITI
Integriti adalah suatu kualiti yang
dimiliki secara konsisten bagi mendokong prinsip moral tinggi atau tahap
profesionalisma. Ianya merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan,
yang sempurna dan tidak boleh dirosakkan. Secara ringkasnya, ia adalah suatu
pemilikan kualiti yang konsisten Sebagai contoh, amalan belajar adalah
sebahagian daripada ibadah kita umat Islam di mana sesungguhnya setiap amal itu
bermula dengan niat. Segala pemikiran, amalan dan tingkah laku ialah ibadah
jika dilakukan dengan niat kerana Allah S.W.T. Intailah keredhaan Tuhan setiap
masa. Ini juga termaktub di dalam perkara pertama Rukun Negara kita iaitu
Kepercayaan kepada Tuhan yang perlu dipatuhi oleh semua rakyat Malaysia. Ibadah
juga membawa maksud membuat segala perkara yang baik dalam kehidupan seharian.
Kita mestilah ingat bahawa Tuhan melihat kita setiap masa, oleh itu kita jangan
sekali-kali melakukan perbuatan yang mungkar. Didiklah diri kita untuk meredhai
semua ketentuan-Nya dan mengaturkan kehidupan mengikut sunnah nabi. Hindari
segala keburukan, maksiat, kejahatan dan segala perlakuan yang merosakkan diri
kita dan juga orang lain. Sebagai ahli akademik dan guru, personaliti Bitara
memainkan peranan penting untuk menjamin masa depan yang cemerlang di UPSI.
Dalam membentuk personaliti Bitara ini, nilai integriti mempunyai empat ciri
guru yang berkesan iaitu bersikap adil, amanah, akauntabiliti dan telus.
Adil: Guru
memulakan dan menamatkan kuliah tepat pada masanya dan dalam tempoh yang telah
ditetapkan. Guru tidak menggunakan masa yang sepatutnya untuk “mencuri tulang”
atau membuang masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan
dengan hal akademik.
Amanah: Bersikap
amanah tentunya adalah dengan menyampaikan fakta yang benar dalam pembelajaran.
Guru juga menjalankan perundingan dengan murid-murid mengikut jadual yang
ditetapkan. Guru digalakkan supaya membuat jadual waktu mengandungi masa
konsultasi yang telah ditetapkan dan memaklumkan masa tersebut kepada
murid-murid. Dengan demikian, pihak guru dan murid-murid dapat mengaturkan
sistem perundingan dengan lebih berkesan melalui perancangan yang telah
ditetapkan. Guru juga tidak menciplak harta intelek orang lain dan menjaga
serta menyayangi harta dan kemudahan universiti dengan amanah.
Telus: Petunjuk seterusnya untuk nilai integriti ialah bersikap
telus. Guru mestilah melaksanakan proses pelaksanaan (kursus dan praktikum)
secara adil dan telus mengikut skema dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Akauntabiliti: Guru juga harus mempamerkan sikap akauntabiliti dengan
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut rancangan instruksi
yang ditetapkan. Sekiranya guru diarah menjalankan penyelidikan, ianya haruslah
disempurnakan mengikut masa yang ditetapkan. Segala arahan dan peraturan
daripada pihak institusi haruslah dipatuhi dan anda mestilah bertanggungjawab
ke atas kesalahan yang dilakukan oleh diri sendiri dan tidak menyalahkan
mana-mana pihak.
2.2.2 PROFESIONAL
Profesional merujuk kepada kemampuan
dan kemahiran dalam profesion serta melibatkan kemahiran dan kecekapan. Nilai
ini membawa maksud melatih diri agar mencapai tahap kompetensi yang
dikehendaki. Apakah tahap kompetensi yang dikehendaki dalam profesion anda?
Tidak kiralah sebagai warga UPSI mahupun sebagai guru sekolah, anda haruslah
menunjukkan minat yang mendalam untuk mempelajari perkara baru dan mengikuti
sesi pembelajaran dan pengajaran dengan sepenuhnya. Hasil tugasan perlu
meningkat secara berterusan. Tahukah anda bahawa hampir semua syarikat swasta
kini memastikan setiap pekerja menghasilkan tugasan yang berterusan dan
sekiranya tidak memenuhi piawaiannya, pekerja tersebut akan ditamatkan kontrak.
Nilai profesional mempunyai empat ciri guru yang berkesan iaitu beretika,
iltizam, cinta ilmu dan kompeten.
Beretika: Guru
mestilah sentiasa mengutamakan kepentingan organisasi. Berdasarkan konteks ini,
organisasi adalah sekolah kita. Maruah guru yang lain sebagai rakan sekerja dan
murid- murid juga mesti dijaga. Ini termasuk tidak mengaibkan markah
murid-murid kepada umum dan tidak bercakap sumbang di belakang mereka.
Iltizam: Bersikap
iltizam atau komited adalah menjalankan tugasan dengan penuh semangat dan
dedikasi. Skop tugasan guru adalah pengajaran dan pembelajaran. Tugasan ini
perlu dirancang dan dilaksanakan dengan terperinci dan teliti. Guru perlu
melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati tanpa mengira masa.
Sebagai contoh, anda mungkin dikehendaki menjalankan aktiviti pada hujung
minggu. Usahlah menganggapnya sebagai beban yang amat berat tetapi fikirkannya
sebagai bukan selalu dan adalah sebahagian daripada tugas anda untuk
menyampaikan ilmu kepada murid-murid anda. Pastikan juga potensi diri dapat
dipupuk dan direalisasikan. Jadikan diri anda sebagai contoh dan teladan kepada
rakan sekerja terutamanya murid-murid.
Cinta Ilmu: Guru kini
dikehendaki menjalankan penyelidikan dalam bidang tugas mereka. Maka
penyelidikan haruslah dijalankan dengan sempurna di samping menghadiri
sekurang-kurangnya dua wacana ilmu setahun untuk menghasilkan tugasan dalam
pelbagai bentuk. Kaedah tugasan yang digunakan mestilah mengutamakan sumber
maklumat. Berdasarkan cara ini, anda dapat melaksanakan strategi yang boleh
membangunkan minda murid-murid dan diri sendiri. Rangkaian dengan rakan sekerja
dan murid-murid juga dibina dan pastikan diri selalu membaca dan mencari
sendiri.
Kompeten: Mempunyai sikap kompeten adalah dengan menyiapkan
tugasan yang berkualiti dan efisyen dalam jangka masa yang ditetapkan. Anda
juga harus mencapai tahap kecekapan dalam tempoh yang ditentukan. Sebagai
contoh, memastikan pembelajaran yang disampai kepada murid-murid, dapat
difahami dengan baik dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Anda
juga digalakkan menyampaikan ilmu dan kemahiran baru kepada rakan sekerja dan
murid-murid. Tidak semestinya anda sebagai guru hanya menggunakan rangka
instruksi dan rangka kursus yang dahulu. Untuk memastikan pembelajaran anda
adalah bersifat kontemporari dan sepanjang zaman, anda harus meningkatkan dan
memperkemas diri anda dengan ilmu dan kemahiran baru yang relevan dengan tajuk
pembelajaran anda.
2.2.3 SEMANGAT BERPASUKAN
Semangat berpasukan adalah
sekelompok modal insan yang bekerja tolong-menolong di bawah satu kepimpinan,
untuk mencapai suatu matlamat dalam jangka masa tertentu dan menggunakan kaedah
tertentu. Setiap ahli kumpulan mestilah saling menghormati dan mengelak daripada
bercakap buruk atau fitnah dibelakang antara satu sama lain. Amalkan sikap
bekerjasama dalam membuat sesuatu keputusan dan bertolak-ansur antara ahli
kumpulan. Dengan menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri, ianya menjadi
mudah untuk menegur secara hikmah rakan yang terpesong daripada norma kumpulan.
Anda juga perlu mengingati setiap kebaikan rakan kumpulan dan sumbangan yang mereka
berikan. Terdapat empat ciri guru yang berkesan untuk nilai semangat berpasukan
iaitu muafakat, fokus matlamat, hormat-menghormati.
Muafakat: Mempunyai sikap muafakat dalam kerja berkumpulan dapat
menyelesaikan masalah secara bersama. Dalam kalangan ahli rakan sekumpulan,
salah faham dan prasangka dapat dielakkan. Galakkan dan bantuan juga dapat
diberikan kepada rakan sekumpulan dalam meningkatkan pencapaian akademik.
Selain itu, murid junior yang kurang pengalaman juga dapat dibimbing serta
diberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam kegiatan akademik.
Walaupun murid junior tiada di dalam sesuatu kelas, anda sebagai guru boleh
membantu murid-murid yang kurang pengalaman untuk terlibat dalam kumpulan yang
lebih berpengalaman. Anda juga digalakkan untuk menyatukan murid-murid yang
berlainan agama, bangsa dan budaya supaya persefahaman, budaya ilmu dan corak pemikiran
dapat diintegrasikan.
Fokus Matlamat: Ahli kumpulan mestilah berkerjasama dalam melaksanakan
tugas demi menaikkan reputasi UPSI. Visi dan misi UPSI seperti yang telah
dibincangkan di atas, haruslah dipegang dan dilaksanakan oleh setiap staf dan pelajar.
Matlamat jangka masa pendek dan panjang perlu dirancang dan ditetapkan sebagai
satu langkah keberkesanan dalam pencapaian.
Hormat-Menghormati: Sikap hormat-menghormati haruslah ditanamkan di dalam
setiap ahli kumpulan untuk memupuk dan mengamalkan sikap saling mempercayai
dalam kalangan rakan sekumpulan. Berikan penghormatan yang selayaknya kepada
rakan kumpulan tanpa mengira usia, seniority dan tahun pengajian. Menghormati
hak dan keistimewaan orang lain adalah sikap utama yang dapat menangani masalah
konflik dan salah faham di dalam kumpulan. Anda sebagai guru juga, harus
menghormati murid-murid dengan menggunakan bahasa yang sesuai, tidak
menyalahgunakan kuasa dan memberikan penilaian yang sewajarnya.
2.2.4 BERORIENTASIKAN PELANGGAN
Untuk menjadi seorang guru yang
berkesan dalam pengajarannya nilai Bitara telah mengariskan ciri-ciri
berorientasikan pelanggan perlu ada dalam diri guru. Dalam melaksanakan tugas
sebagai guru sudah tentu mereka akan berhadapan dengan pelanggan iaitu murid
dan juga rakan sejawat. Dalam nilai Bitara berorientasikan pelanggan ini
dibahagikan kepada responsif, proaktif, mesra dan berkualiti.
Responsif bermaksud segera atau
mudah memberikan kerjasama atau reaksi yang bersifat membantu terhadap sesuatu
usaha dan sebagainya (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka edisi Keempat, 2005).
Cepat bertindak dengan segera merupakan gambaran jelas bagi menjelaskan makna
responsif itu sendiri. Sebagai contoh, sekiranya murid menghadapi masalah dalam
pembelajaran, guru perlu bertindak cepat untuk membantu murid tersebut. Ini
bagi menggelakkan murid tersebut terus ketingalan dalam pelajarannya. Pelbagai
tindakan boleh diambil untuk membantu murid ini seperti mengadakan pemulihan,
pengukuhan dan pengayaan.
Di samping itu, sikap proaktif juga
perlu ada dalam diri seorang guru untuk menjadi guru yang berkesan. Proaktif
menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Keempat (2005) ialah merangka atau
melakukan sesuatu tindakan jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara
yang sememangnya memerlukan tindakan. Melakukan sesuatu tindakan tanpa menunggu
arahan ataupun disuruh merupakan ciri-ciri proaktif dalam diri seorang guru
yang berkesan. Guru perlu merancang strategi bagi meminimumkan
halangan-halangan yang bakal wujud dalam pengajarnnya.
Bagi mewujudkan suasana pembelajaran
yang kondusif, sifat mesra telah digariskan dalam nilai Bitara bagi mewujudkan
seorang guru yang berkesan. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi
Keempat (2005), mesra membawa maksud bercampur benar-benar, bersepadu, karib benar
atau erat. Guru yang berkesan pengajarannya mestilah menunjukkan sikap mesra
dengan murid. Melayan murid dengan bahasa dan perlakuan yang sopan akan
menjadikan murid gembira dan seronok untuk hadir ke sekolah.
Guru yang berkesan sememangnya
memiliki kualiti yang tinggi. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Keempat
(2005) telah mendifinisikan kualiti sebagai darjah kecemerlangan biasanya
tinggi dan bermutu. Guru yang berkualiti dalam pengurusannya seperti
perancangan pengajaran dan pembelajaran, kualiti ilmu yang disampaikan dan
kualiti sahsiah diri yang mantap akan menghasilkan impak yang berkualiti juga.
Bagi menjadikan dirinya seorang guru yang berkualiti seseorang guru itu
hendaklah menpunyai ilmu pengatahuan yang tinggi dalam bidangnya yang sesuai dengan
perkembangan teknologi semasa.
2.2.5 PRIHATIN KEBAJIKAN ANGGOTA
Nilai
Bitara yang kelima ialah Prihatin kebajikan anggota. Petunjuk yang pertama
dalam nilai prihatin kebajikan anggota ialah peluang untuk maju. Setiap guru
mestilah mempunyai sikap ingin memajukan diri untuk kepentingan diri dan profesion
perguruan. Guru bolehlah membangunkan potensi diri dalam bidang yang menjadi
kepakaran masing-masing dengan menghadiri kursus-kursus dalam perkhidmatan yang
telah dianjurkan. Dalam pengajaran pula, guru bolehlah mempelbagaikan kaedah
pengajaran untuk menonjolkan potensi murid-murid dalam bidang yang digemari.
Guru juga mestilah menggalakkan murid-muridnya agar tampil dan memberanikan
diri untuk menceburi mana-mana bidang yang bersesuaian contohnya seperti bidang
sukan supaya bakat murid-murid dapat diperkembangkan.
Seterusnya
di dalam nilai prihatin kebajikan anggota ialah petunjuk empati. Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat (2005), empati bermaksud daya menyelami dan
memahami perasaan atau emosi orang lain. Selain itu empati merujuk kepada
kemampuan seseorang untuk merasakan apa yang dirasakan orang lain ketika
mengalami sesuatu kejadian. Dalam pengajaran, jika guru mendapati muridnya
menghadapi masalah, guru harus mendekati murid tersebut dan menyelami
perasaannya. Jika perlu kita boleh bertindak sebagai seorang
kaunselor untuk membantu murid berkenaan. Kita juga boleh menziarahi
keluarga murid tersebut untuk mengetahui keadaan sebenar dan memberi bantuan
jika diperlukan.Sikap empati ini perlu wujud dalam diri guru.
2.3 KESIMPULAN
Guru
merupakan insan yang menjadi nadi dan ejen perubahan kepada masyarakat. Tugas
guru sejak dari dahulu lagi bukan sekadar hanya menyampaikan ilmu pengetahuan
di dalam bilik darjah semata-mata malah guru turut bertindak sebagai nadi
penggerak kepada pembinaan ciri individu yang berketrampilan tinggi, unggul dan
jitu. Guru yang hebat dari segi kualiti mampu membantu negara melahirkan generasi
masa hadapan yang berkualiti tinggi dan berintegriti. Guru yang bagaimanakah
yang dikatakan guru yang sebenar-benar guru? Guru itu mestilah melengkapi semua
ciri-ciri yang diperlukan dari aspek profesionalisme, berketrampilan, cekap,
peribadi terpuji, intelektual, kestabilan emosi dan spiritual serta bijaksana
dan berkeupayaan untuk memimpin. Guru yang hebat adalah guru yang mempunyai
personaliti menakjubkan mengikut Pat Conroy, 1982. Nilai Bitara ini jika
digunakan sepenuhnya oleh guru secara berterusan akan dapat membantu untuk
meningkatkan rasa tanggungjawab guru terhadap murid-muridnya.
2.3
RUJUKAN
Abdul
Jalil Borham (1998). Program pembangunan sahsiah pelajar dan pelaksanaannya di
IPT
di Malaysia. Kertas kerja yang
dibentangkan di Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan. Johor:
Universiti Teknologi Malaysia.
Abd Majid Mohd
Isa & Rahil Mahyuddin (1995). Psikologi pendidikan 1: Pertumbuhan dan
perkembangan.
Petaling Jaya: Longman.
Cloninger, S. (2008). Theories of personality: Understanding persons (5th
Ed.). New Jersey:
Pearson Education Inc.
Ee Ah Meng (1996). Psikologi perkembangan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Schultz, D & Schultz, S.E. (2009 ). Theories of personality.
(9th ed.). Australia: Wadsworth
Cengage Learning.
Siti Fatimah
Abdul Rahman (1993). Asas-asas masyarakat cemerlang. Kuala Lumpur:
Institut
Kefahaman
Islam Malaysia.
Simanowitz, V.
& Pearce, P. (2003). Personality development: Core concepts in
therapy. Great
Britain:
MPG Books Ltd, Bodmin, Cornwall.