KRB 3063

TUGASAN 3
1.           Jelaskan idealisme dan falsafah yang terdapat dalam Karya Agung.

1.1      Pengenalan
Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.
Bagi maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
1.2      Idealisme
Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.
Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12). Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi membuktikan hal ini, berikut memaparkan antara contoh karya agung yang penulisan, pemikiran atau idealismenya berhubungkait serta bersumberkan alam.

1.2.1         Lautan
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003: 14)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa perlu untuk memasukkan unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala dilihat hal itu tidaklah begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.

1.2.2         Api dan air
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini dipeliharakan oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 15)
Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan perumpamaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.



1.2.3         Kaitan antara manusia
“Maka sebab itulah kata arif: Apabila engkau dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh setianya kepada orang yang mendapat dia itu.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi turut memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini menunjukkan idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam hidup bersosial.

1.2.4         Alam
“Maka adalah ia itu diumpamakan seperti suatu tiang batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditanggungkan di atasnya, ditahannya juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya itu, remuklah ia, patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok, seperti tiang kayu dan sebagainya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Petikan ini juga menunjukkan pemikiran atau idealisme penulis karya agung dalam mengaitkan penulisannya dengan sumber alam di sekelilingnya.

1.3      Falsafah
Menurut Al-Farabi, falsafah adalah ilmu yang berkisar tentang alam untuk diselidiki hakikatnya yang sebenar. Al kindi pula menyaakan bahawa falsafah adalah salah satu pengetahuan tentang realiti segala sesuatu, sejauh jangkauan kemampuan manusia.

Selain itu, Masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupam mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional. Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, ghazal, berzanji, teka-teki, dan dabus. Contoh jelas dapat diamati seperti berikut.

1.2.1         Falsafah Bahasa
Nyanyian dalam karya sulalatus salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.
Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masuk.
                                                                                        
                                                                       (Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)
1.2.2         Falsafah Alam
Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang oleh Pencipta. Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier, kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan  bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargai.

1.2.3         Falsafah Ibadah
Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.

"Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; ............ Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa."
                                                      (Muhamad Haji Salleh, 1997: 186 -187)

1.2.4         Falsafah Keadilan
Falsafah keadilan dapat dilihat melalui tindakan Sultan Muzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan kerana ganjaran terhadap kesilapan yang dilakukan ialah hukuman.

Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun Fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata dalam hatinya, “Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita.”
Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanaya akan Bendahara Seri Maharaja.
                                                             (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 201)

1.2.5         Falsafah Adat
Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan peredaran masa.

Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Per­sangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang se­runai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
                                                                     (A. Samad Ahmad, 1979: 76)
1.2.6         Falsafah Waad
Waad merupakan kontrak sosial yang dilakukan di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Waad ini dilihat sebagai satu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan golongan rakyat.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosya besyar-besyar | dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hokum syar’i.
Maka titah baginda, “Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun( tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah pada akhir Zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat, pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu.”
                                                        (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 23-24)




1.4      Rumusan
Rumusannya, setiap karya atau penulisan pastinya mempunyai idealisme dan falsafahnya yang tersendiri. Setiap penulis mempunyai kecenderungan tersendiri untuk mengaitkan penulisannya dengan falsafah dan pemikiran tertentu, misalnya berkaitan dengan idealisme bersumberkan alam, falsafah bersumberkan Islam, falsafah bersumberkan Melayu mahu pun falsafah bahasa. Kecenderungan mengaitkan penulisannya dengan Islam dan menulis karya yang tidak lari daripada bahasa dan alam, iaitu dari aspek sosialisasi dan pelbagai lagi. Segalanya berkaitan dengan kehidupan manusia dan tidak lari dari dimasukkan unsurnya di dalam sebuah penulisan yang menarik dan berkesan.
























2.           Bincangkan nilai-nilai hidup orang Melayu yang terdapat dalam Karya Agung.

2.1          Pengenalan
Nilai-nilai hidup orang Melayu sangat bergantung pada sifat falsafah dan idealisme yang diamalkan dalam kehidupan harian. Falsafah dan idealisme yang diamalkan itu sangat berkait dengan unsur-unsur kepercayaan, alam sekitar, adat dan adab yang melambangkan bangsa Melayu. Nilai-nilai ini menjadi satu panduan dalam menghadapi apa sahaja urusan, pentadbiran, peraturan, undang-undang dan hukum.

2.2          Nilai-nilai berdasarkan falsafah hidup
Dalam membuat sesuatu keputusan, seseorang itu perlulah mempunyai pendirian berdasarkan falsafah yang dipegang tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Keputusan yang dibuat juga harus memenuhi keperluan falsafah seseorang. Falsafah membantu seseorang memahami apa yang sedang berlaku dalam pelajaran. Seseorang yang ingin menceburi sesuatu bidang perlu menguasai bidang yang ingin diceburinya sedalam-dalamnya bagi membolehkan mereka berfikir secara mendalam dan sistematik tentang isu-isu intelek, asas pendidikan dan kehidupan manusia.
Khazanah persuratan Melayu kaya dengan karya ilmu dalam pelbagai bidang. Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas). Oleh itu, terhasillah beberapa banyak karya persuratan alam bidang ilmu keagamaan.

2.3          Nilai-nilai berdasarkan idealisme hidup
Idealisme terbahagi kepada beberapa aliran iaitu romantisme, simbolisme, ekspresionisme, mistisme, dan surealisme. Namun, yang menyentuh mengenai sumber alam hanyalah aliran idealisme bagi simbolisme iaitu aliran kesusasteraan yang menyajikan tokoh-tokoh bukan manusia tetapi binatang dan tumbuh-tumbuhan yang disimbolkan sebagai perilaku manusia. Binatang-binatang atau tumbuh-tumbuhan diperlakukan sebagai manusia yang dapat bertindak, berbicara, berkomunikasi, berfikir, berpendapat sebagaimana halnya manusia. Kehadiran karya sastera yang beraliran simbolisme ini biasanya ditentukan oleh situasi yang tidak mendukung pencerita atau pengarang yang berbicara. Pada masyarakat lama, misalnya di mana kebebasan berbicara dibatasi oleh aturan etika moral yang mengikat kebersamaan dalam kelompok masyarakat, pandangan dan pendapat mereka disalurkan melalui bentuk-bentuk peribahasa atau sindiran.

Jika kita melihat, mengkaji, dan menghayati karya-karya yang dihasilkan oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu, kita pasti akan menemui banyak perumpaan-perumpaan yang dihasilkan pasti menggunakan sumber-sumber alam. Misalnya, perumpaan, pantun, simpulan bahasa, dan sebagainya. Mereka menggunakan sumber-sumber semulajadi ini kerana perkara tersebut sangat dekat dengan mereka. Pantun misalnya banyak digunakan untuk memberi nasihat, pengajaran, dan sindiran kepada masyarakat dalam kehidupan seharian. Kita boleh melihat bagaimana pengarang-pengarang Melayu pada zaman dahulu menggunakan sumber-sumber alam ini untuk menyampaikan sesuatu. Keadaan ini cukup jelas dilihat dalam himpunan pantun-pantun Melayu yang terdapat dalam ‘Bingkisan Permata’.








3.           Dalam Karya Agung terdapat pelbagai jenis ilmu. Jelaskan ilmu yang terdapat dalam karya tersebut serta kepentingannya kepada masyarakat Melayu pada ketika itu.

3.1          Pengenalan
Pembentangan penulisan dalam Karya Agung mengandungi pelbagai jenis ilmu yang dijadikan panduan hidup oleh masyarakat Melayu. Kebanyakan penulisan ini berkaitan dengan pengaruh dan amalan agama Islam. Dalam penulisan tersebut boleh dikatakan bahawa menjurus kepada terjemahan dan penerangan tentang Islam.

3.2          Jenis ilmu dalam Karya Agung
Ilmu lain yang turut digarap ialah sirah atau sejarah, qiraat atau pembacaan al-Quran dan hadith.

Sebagai contoh penerapan falsafah dan logika Melayu yang berteraskan Islam, dalam bab ini dibincangkan sebuah karya ilmu agama Islam yang mewakili karya persuratan ilmu dalam tamadun Melayu. Karya itu ialah Al-`Aqaid al-Nasafi, iaitu terjemahan kitab yang menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Atta ditulis oleh seorang ulama’ di Aceh Darussalam ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah IV (1589-1604M.).

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengkaji kitab tersebut menegaskan bahawa karya itu merupakan manuskrip tertua yang terhasil dalam tamadun Melayu. Kitab itu bertarikh 1590 dan lebih tua daripada manuskrip lain yang tidak bersifat karya keagamaan, seperti Hikayat Seri Rama (1633). Beliau menyusun teks tersebut kepada 23 perenggan.

Prof. Dr. Wan Muhammad Nor Wan Daud (2005) meringkaskan kandungan karya yang dikupas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai yang berikut:

3.1.1         Perenggan 2-4 membicarakan kemungkinan atau keupayaan manusia mencapai ilmu tentang hakikat segala perkara dan penolakan akan golongan peragu dan penisbi (golongan Sufastai`yyah/Sofis). Salah satu asas epistemoloi (teori ilmu) Islam yang penting, iaitu sumber ilmu yang bersepadu turut dibincangkan. Sumber ilmu menurut perspektif Islam bersepadu antara sumber pancaindera, akal dan khabar yang benar turut dibincangkan.
3.1.2         Perenggan 5 menghuraikan sifat segala alam makhluk yang senantiasa baharu, berlawanan dengan sifat Tuhan yang tidak baharu. Perenggan 6-9 membicarakan keesaan Tuhan dan sifat-sifat-Nya, iaitu aspek yang menjadi teras pandangan sarwa atau pandangan hidup bangsa Melayu Islam.
3.1.3         Perenggan 10 membicarakan kemungkinan “melihat Tuhan” di akhirat kelak, dengan paduan antara hujah naqal (nas al-Qur`an dan hadith) dengan hujah akal. Perenggan 11-12 membicarakan peranan Tuhan yang maha meliputi segala tindak-tanduk manusia dan juga kebebasan manusia untuk berikhtiar.
3.1.4         Perenggan 13 menghuraikan eskatalogi, iaitu hakikat alam kubur, balasan di akhirat, syurga dan neraka. Selanjutnya perenggan 14 menghuraikan rahmat Tuhan yang sedia mengampuni makhluknya asalkan mereka tidak menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
3.1.5         Perenggan 15 menegaskan hakikat iman, Islam dan kebahagiaan. Ditekankan pentingnya kesepaduan antara iman dengan Islam. Perenggan 16 pula menghuraikan aspek kenabian dan mukjizat serta peranan para nabi. Seterusnya, perenggan 17 menghuraikan perihal malaikat, sementara perenggan 18 menghuraikan peristiwa Isra` dan Mikraj serta karamah dalam kalangan para wali Allah.
3.1.6         Perenggan 19 membicarakan para sahabat Nabi dan khilafat atau pemerintah. Sementara itu, perenggan 20 menjelaskan keharusan solat di belakang orang yang salih dan fasiq, kewajiban bersangka baik kepada sahabat Nabi dan perihal sepuluh orang sahabat Nabi yang dijamin masuk ke syurga.
3.1.7         Perenggan 21 menegaskan maqam para wali yang tidak sampai ke peringkat nabi, penolakan ajaran batiniah dan perkara yang mengkufurkan seseorang seperti mempersendakan syariat. Perenggan 22 pula menghuraikan tanda-tanda kiamat. Akhirnya, perenggan 23 menegaskan keterbukaan dalam bermazhab dengan penekanan bahawa imam mujtahid (Syafii, Hanafi, Malik dan Hanbal) berkemungkinan silap dalam hal tertentu. Dalam perenggan akhir ini ditegaskan juga bahawa taraf manusia yang mukmin lebih tinggi daripada taraf malaikat.

RUJUKAN
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdullah bin Abdul Kadir munsyi (diperkenalkan oleh Kassim Ahmad), 2004. Hikayat Abdullah. Selangor Darul Ehsan: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.

Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris

Haron Daud  (1989). Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Selangor.

Hashim Hj. Musa (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Raja Ali Haji (Dikaji dan Diperkenalkan Oleh: Hashim Musa), 2010. Kitab Pengetahuan Bahas Yayasan Karyawan: Kuala Lumpur.

Siti Hawa Haji Salleh (Penyelenggara), 1992. Bustan Al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syair Ken Tambuhan.Dikaji Oleh: Nuruddin Alraniri.Noriah Mohamed Et.Al:Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Dan Dewan Bhasa Pustaka

Ungku Abdul Aziz Ungku Abd Hamid.( 2011). Pantun Dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur.


W. G Shellbear, 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.