HSN2013

Bincangkan konsep negara bangsa.

1.      Pengenalan
Sesebuah negara yang merdeka yang mempunyai masyarakat majmuk di dalamnya pasti   menanggung pelbagai isu yang berkaitan dengan kedudukan kepentingan sesebuah kaum atau etnik sendiri. Bukan itu sahaja negara yang baru menikmati pemerintahan  sendiri ini pasti tidak lekang dengan isu-isu identiti negaranya. Dengan adanya isu-isu seperti ini sesebuah negara terpaksa membina Negara Bangsa sendiri supaya negara yang dibina itu boleh diterima oleh rakyatnya malah diterima oleh masyarakat luar. Dalam konteks Malaysia, Negara Bangsa wujud apabila tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Konsep ini dibuat kerana terdapat berbagai kaum di Malaysia. Sebelum ini kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina dan India lebih kepada konsep negara asal mereka. Tujuan mereka lebih kepada kepentingan bangsa sendiri kerana Tanah Melayu pada masa itu dianggap sebagai tempat mencari rezeki dan penempatan sementara sahaja. Walaupun Malaysia tidak sangat dipengaruhi oleh isu-isu peperangan untuk mencapai kemerdekaan tetapi isu-isu pemajmukan iaitu taraf bumiputera  dan bukan bumiputera menjadi isu yang hangat. Untuk menangani isu-isu ini, pembinaan Negara Bangsa yang utuh mesti dilakukan dengan segera dan kajian tentangnya perlu dibuat.

2.             Apakah Negara Bangsa

2.1         Konsep Negara
Sesebuah negara mempunyai konsepnya yang tersendiri. Pada asasnya konsep sebuah negara ialah sesebuah negara yang mempunyai sempadan tertentu yang memisahkan dengan negara jirannya bukan sahaja di daratan malah di lautan  pun. Sudah pastinya mempunyai penduduk dan perihal penduduk dari kaum, ras atau etnik tertentu. Dalam pada itu, sebuah negara mesti memiliki kerajaan yang disusunatur dengan baik pentadbirannya dengan cara pemilihannya melalui pilihanraya agar kerajaan yang dibentuk itu diiktiraf oleh rakyat maupun masyarakat dunia.  Negara yang berdaulat dari mana negara tersebut diiktiraf oleh negara dunia.  
2.2         Konsep Bangsa
Pada awalnya konsep bangsa didefiniskan sebagai satu kumpulan atau ras yang mana mereka berkongsi sejarah, tradisi, cara hidup dan budaya. Kumpulan ini berkongsi menggunakan bahasa yang sama dan kadang-kala menganuti agama yang sama. Pendapat lain pula mengatakan lebih membezakan bangsa dengan etnik, ras dan etnik, bangsa dan warganegara. Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada identiti umum serta kesetiaan terhadap bangsa. Menurut Rupert Emerson, bangsa adalah ;
“...a community of people who feel that they belong together in the double sense – that they share deeply significant elements of a comman heritage and that they have a common destiny for the future. A new nation is thus a ‘nation’ that has not had these two attributes in the fullest sense, or a nation that is in the process of attempting to acquire them.”
(R. Emerson, 1962 hlm. 8)
Pada masa kini pula konsep bangsa sering dikaitan dengan negara. Ini adalah kerana bangsa sering menonjol mengikut negara masing-masing yang akhirnya ia membentuk negara bangsa. Tetapi harus kita sedar bahawa negara lebih kepada sistem pemerintahan di mana bangsa itu tinggal. Menurut Anthony Giddens, beliau mendefinisikan bangsa adalah sebagai ;
“...a ‘collectivity existing within a clearly demarcated territory, which is subject to a unitary [and uniform] adminitration, reflexively monitored both by the internal state apparatus and  those of other states’. It is a structural definition rather than depending upon an assessment of the strength of national sentiment. Importantly the definition goes on to recognize that the nation (-state) comes to be sustained only within a complex of other nation state.”
(Carolyn Stephenson, January 2005)
Melalui definisi yang telah diberi pada dasarnya bangsa itu adalah melambangkan keseluruhan   penduduk yang tinggal di sesebuah negara. Sesuatu bangsa dilihat bukan sahaja dari keturunannya malah lebih besar lagi iaitu melalui apa yang dicapainya.
2.3         Konsep Pembinaan Bangsa
Konsep ini terhasil apabila bangsa itu sendiri dilihat dari segi pencapaiannnya. Konsep pembinaan bangsa ini lebih merujuk kepada perlaksanaan yang dijalankan di negara masing-masing seperti pembangunan ekonomi, infrastuktur, sosialisasi dan sebagainya. Pembinaan bangsa pada umumnya dikenali sebagai sesuatu yang dilakukan untuk membangunkan sesuatu secara sengaja. Dalam konteks Malaysia, pembinaan bangsa mengambil masa yang sangat panjang dari sebelum merdeka hinggalah ke masa kini. Proses pembinaan bangsa dan negara ini terganggu kerana banyak isu-isu yang mempengaruhi pembinaan bangsa dan negara.

3.             Konsep Negara Bangsa
Konsep Negara Bangsa merupakan kesinambungan sejarah sesuatu bangsa. Di kebanyakan negara, sejarah negara tersebut membentuk negara bangsa dengan tujuan untuk membangun bangsa itu sendiri untuk masa kini atau masa depannya. Sesebuah negara terbina dengan sejarahnya tersendiri. Bangsa pula terbentuk dari sejarah yang telah dilakar untuk membina keutuhan dan kestabilan negara yang terbina. Negara bangsa merupakan satu fenomena sosio-politik. Konsep negara bangsa selalunya digunakan untuk membincangkan mengenai sosiopolitik sesebuah negara.
Dalam konteks Malaysia, konsep negara bangsa tidak begitu jelas walaupun ia merupakan teras pembangunan negara Malaysia.  Ada pendapat mengatakan konsep negara bangsa di Malaysia berasasakan legalistik. Sehubungan dengan itu, bangsa Malaysia boleh terbentuk dengan menjadi warganegara Malaysia, amalan cara hidup berdasarkan budaya Malaysia dan menggunakan bahasa Malaysia. Pendapat lain mengatakan konsep ras berdasarkan biologi seperti keturunan darah dan pembentukannya hanya boleh dilakukan dengan adanya perkahwinan campur (Abdul Rahman Embong, 2000).
Namun begitu, secara asasnya pemahaman tentang konsep negara bangsa adalah negara yang diperintah dan ditadbir oleh bangsa negara itu sendiri mengikut acuan bangsa yang telah diperakui oleh rakyatnya. Rakyat sendiri juga yang menentukan bentuk bangsa yang dibina dan memperakui bangsa itu sendiri. Dalam konteks Malaysia, bangsa Malaysia yang dibentuk tentu sekali amat sukar kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik. Bagaimanakah negara bangsa dibentuk dan perkara-perkara mempengaruhinya dalam konteks Malaysia?

4.             Teori Pembinaan Bangsa
Bagi membina sebuah bangsa, terdapat beberapa teori yang telah dikemukakan. Nama-nama seperti Karl Deutsh, Charles Tilly dan Reinhard Berndix  merupakan pelopor kepada konsep negara bangsa yang terkenal. Menurut tokoh-tokoh ini, teori pembinaan bangsa merupakan penyumbang kepada pembentukan sebuah negara bangsa yang moden dengan menerangkan proses integrasi nasional.
Pembinaan bangsa ini selalunya dibincangkan bersama dan berkait dengan pembangunan negara, demokrasi, modenisasi, pembangunan politik, penyelesaian konflik dan usaha membentuk keamanan. Namun begitu, setiap konsep ada perbezaannya walaupun ada perkaitan antara satu sama lain. Ahli sains politik Amerika menerangkan integrasi besar-besaran berlaku apabila rakyat menunjukkan kesetian kepada negara baru yang moden selepas perang. Reinhard Berndix (1977) pula memfokuskan kepada warganegara yang aktif dalam politik. Manakala Karl Deutsh (1963, hlm. 7-8) memfokuskan kepada peranan integrasi nasional dan komunikasi sosial dalam pembinaan bangsa di negara barat.
Hal yang jelas dalam pembinaan bangsa ialah peranan integrasi nasional sebagai asas dalam pembentukan bangsa dan seterusnya membentuk negara bangsa. Dalam pada itu, proses untuk membentuk negara bangsa bukan semudah yang dikatakan. Pembentukan negara bangsa mesti melalui pelbagai proses pembentukan dan barulah dunia dapat melihat kewujudannya.

5.             Sejarah Negara
Sejarah adalah salah satu faktor yang mempengaruhi pembentukan negara bangsa. Faktor sejarah menjadi rujukan kepada pihak pemerintah untuk membina acuan bangsa negara. Melalui peristiwa atau isu ataupun konflik yang telah berlaku, pihak pemerintah menjadikan ianya satu asas untuk membentuk perlembagaan. Seterusnya perlembagaan itu menjadi panduan dan asas atau prinsip kepada bangsa yang dibentuk.
Dalam konteks Malaysia, sejarah juga memainkan peranan penting untuk membentuk negara bangsa. Sejarah Malaysia yang unik menjadi panduan dan saling berkaitan dengan pembentukan negara bangsa sekarang ini.
5.1         Kesultanan Melayu
Era Kesultanan Melayu bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) dengan mengamalkan sistem pemerintahan bercorak monarki. Pada awal pemerintahannya memperlihatkan struktur sosial masyarakat tradisional dibahagikan kepada dua iaitu strata pemerintah yang terdiri daripada golongan raja dan bangsawan serta strata diperitah yang terdiri daripada golongan rakyat biasa dan hamba (Rustam A. Sani, 1983:hlm.142).
Persoalan di sini, bukanlah hal-hal yang mengaitkan struktur itu sendiri tetapi kedua-dua golongan ini dimeterai dengan satu kontrak sosial yang membentuk bangsa Melayu pada masa itu. Pemerintah menjadi tunggak kepada pengenalan bangsa. Golongan pemerintah membentuk pengenalan bangsa dan rakyat cuma ikut sahaja.


5.2         Pemerintahan British
Hubungan formal British dan negeri-negeri Melayu bermula dengan Perjanjian Pangkor pada Januari 1874. Penjajahan British pada masa itu telah meninggalkan kesan penjajahan secara langsung daripada sudut politik, ekonomi dan sosial serta memberi fahaman demokrasi kepada rakyat. Kesedaran semasa penjajahan ini telah membangkitkan semangat nasionalisme. Kebangkitan semangat nasionalisme telah mengikat semua kaum untuk bersama berjuang dalam memperjuangkan kemerdekaan. Imigrasi India dan Cina yang tidak mahu pulang ke negara asal dan telah mengadaptasikan amalan hidup orang Melayu turut sama berjuang dalam menuntut kemerdekaan (Andaya dan Andaya 1983).
5.3         Kemerdekaan Tanah Melayu
Satu persidangan yang diadakan di London pada Januari dan Februari 1956 telah mencapai persetujuan bahawa Tanah Melayu sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya Reid dibentuk dengan diketuai oleh Lord Reid bagi membentuk sebuah perlembagaan sebagai persediaan untuk Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Suruhanjaya Reid membentangkan Perlembagaan Tanah Melayu yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa yang utuh.
5.4         Pembentukan Malaysia 1963
Pembentukan Malaysia 1963 dengan kemasukan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei  dengan Tanah Melayu. Pengabungan ini telah menjadi titik tolak kepada pembentukan  negara bangsa di Malaysia. Antara usaha yang dilakukan untuk merealisasikan pengabungan ini ialah Lawatan Muhibbah oleh Tunku Abdul Rahman ke Sabah dan Sarawak pada Jun 1961. Lawatan ini semata-mata untuk memberi penjelasan kepada pemimpin Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada 1961 bertujuan meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.

5.5         Kesan-kesan Sejarah Kepada Negara Bangsa Malaysia
Bermula dari pemerintahan Kesultanan Melayu sehingga pembentukan Perlembagaan Tanah Melayu, sejarah telah memainkan peranan penting dalam pembentukan Negara Bangsa Malaysia. Semua ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan telah kita gunakan sehingga kini. Antara kesan yang jelas ialah mengekalkan Pemerintahan Raja atau Sultan tetapi berpelembagaan, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dijadikan asas, Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Kesan ini menunjukkan jelas bahawa faktor sejarah menjadi garis panduan kepada pengukuhan pembentukan negara bangsa. Di samping itu, pembentukan ini juga melindungi komuniti asal dan mengekalkannya sebagai asas kepada negara bangsa.

6.             Tamadun Malaysia
Secara asasnya menurut Prof. M.A.J. Beg tamadun adalah merupakan pencapaian manusia dalam bentuk arkitek, manuskrip, kesenian, kota, agama, undang-undang  dan politik. Selanjutnya dikukuhkan lagi oleh Edward  L. Farmer ciri-ciri tertentu berlakunya tamadun apabila wujudnya revolusi seperti yang dikatakan oleh Prof. M.A.J Beg. Dalam buku Tamadun Dunia terbitan Fajar Bakti, Sirachandralingam dan Ayadurai mencatatkan dua perbezaan ketara iaitu perubahan cuaca drastik menggalakkan manusia terpaksa berfikir lebih kreatif untuk memenuhi kehendak dan perubahan dalam iklim juga boleh meruntuhkan suatu tamadun. Menurut Karl Ritter pula bentuk muka bumi mempengaruhi perkembangan tamadun.
Mengikut konteks Malaysia pula, bentuk muka bumi negara kita sesuai untuk pertanian. Maka wujud satu tamadun yang telah berevolusi dalam pertanian dan wujud sehingga hari ini. Revolusi pertanian telah dimajukan ke arah yang lebih baik, sistematik dan jimat. Satu lagi contoh kemajuan tamadun kita ialah kemajuan bahasa. Bahasa Melayu telah digunakan di Nusantara. Kemajuan dalam bahasa tidak disangkal apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantaraan untuk tujuan perniagaan dan perhubungan.
Kewujudan tamadun telah mengubah cara pembentukan pemikiran dan taraf hidup rakyat Malaysia. Cara pemikiran yang lebih moden dan berinovasi. Taraf hidup juga meningkat dan maju. Perubahan ini mempengaruhi pembentukan negara bangsa dari mana ianya telah menjadi asas. Maka dengan itu, wujudlah dasar-dasar baru seperti Dasar Ekonomi Baru untuk kemajuan ekonomi rakyat, Dasar Pertanian Negara untuk memajukan bidang pertanian menjadi bidang perniagaan dan pelbagai lagi dasar-dasar lain. Dasar-dasar ini sekali gus telah mengevolusikan pembentukan negara bangsa.

7.             Isu Pembangunan
Isu Pembangunan turut mempengaruhi pembentukan Negara Bangsa. Pembangunan negara telah dilakukan secara optimum khususnya selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pembangunan ini melibatkan pembangunan ekonomi dan sosial bagi memberi kesejahteraan hidup kepada rakyat. Memang tidak dinafikan bahawa pembangunan sangat penting untuk membentuk negara bangsa yang kuat, stabil dan aman. Dalam hal ini pembangunan negara berpaksikan pembentukan negara bangsa yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.

7.1         Pembangunan Ekonomi
Pembangunan ekonomi telah mengubah amalan ekonomi tradisonal kepada pembangunan ekonomi yang menggunakan teknologi terkini yang canggih dan lebih efisen. Contohnya pertanian pada awalnya adalah berasaskan cara tradisional secara sara diri dan tidak ekonomik telah ditukar kepada ekonomi komersil yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan pengeluaran.
7.2         Pembangunan Sosial
Pembangunan sosial meliputi sistem pendidikan venakular, sistem kesihatan, sistem pengangkutan, sistem komunikasi dan kemudahan awam serta rekreasi. Pembangunan sosial telah terkandung dalam rancangan pembangunan lima tahun kerajaan. Kerajaan telah menekankan pembangunan sosial secara menyeluruh dan tidak untuk kepentingan mana-mana pihak. Dalam hal ini pembangunan dilakukan terhadap masyarakat bandar dan luar bandar, semua kaum dan etnik serta pelbagai lapisan masyarakat.
7.3         Kesan Pembangunan
Seluruh dunia telah berubah dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya dan sebagainya. Apabila pembangunan menjadi salah satu tunjang dalam pembentukan negara bangsa, persoalan yang timbul pastinya perihal pembaratan. Masyarakat hari ini selalunya merujuk kepada negara-negara barat sebagai contoh pembangunan. Sebenarnya pembangunan berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Konsep pembangunan berbeza mengikut agama Islam yang mengira nilai-nilai murni, etika dan nilai-nilai ajaran Islam. Perbezaan ini jelas apabila pembangunan di barat memisahkan agama dengan pembangunan.
Salah satu masalah yang timbul ialah taraf kemiskinan. Taraf kemiskinan yang membantutkan pembangunan dalam masyarakat dan negara. Dalam konteks Malaysia, kerajaan telah banyak berusaha bagi menghapuskan kemiskinan. Bagi mengurangkan kadar kemiskinan, kerajaan Malaysia telah membuka banyak peluang bagi meningkatkan kadar pendapatan rakyat. Sememangnya usaha kerajaan kini menampakkan kejayaan. Tidak dinafikan juga pembangunan itu sendiri mengundang kemiskinan. Pembangunan membawa kesan dengan peningkatan kadar penduduk, kenaikan harga runcit, kenaikan harga kos sara hidup dan kenaikan harga perkhidmatan. Bagi penduduk yang tidak mampu maka kenaikan harga ini tidak seimbang dengan kadar pendapatan dan seterusnya meningkatkan kadar inflasi.
Sistem ekonomi yang berasaskan sistem ekonomi kapitalis barat. Walaupun Malaysia memiliki modal dan sumber untuk pembangunan ekonomi, kebergantungan kepada negara barat dan koloninya menghalang pembangunan. Malaysia menjadi pembeli kepada barangan keluarannya sendiri. Sebagai mana, negara barat mengimport bahan mentah dengan harga murah dan menjual hasil produknya kepada Malaysia dengan harga yang mahal. Sistem ekonomi kapitalis ini sebenarnya menyebabkan golongan yang kaya menjadi semakin kaya dan golongan miskin menjadi semakin miskin.
Pembangunan yang dibina juga mengundang masalah sosial seperti masalah pengganguran, jenayah, setinggan, pelacuran, pengaruh budaya kuning dan sebagainya. Masalah ini berlaku kerana pembangunan yang dijalankan tanpa pembangunan insaniah.  Justeru itu, perlu diseimbangkan pembangunan fizikal dan pembangunan insaniah untuk membantu usaha-usaha pembangunan dijalankan dengan lebih berhemah dan sistematik.
Di samping itu, pembangunan belum terancang dengan baik dan teratur. Kadar pembangunan di bandar lebih tinggi daripada pembangunan di luar bandar. Pengubalan semula dasar untuk keseimbangan pembangunan di bandar dan luar bandar, barulah kelihatan di luar bandar mula melibatkan diri dalam pembangunan ekonomi. Namun demikian penghasilannya masih lagi secara kecil-kecilan dan perlu banyak usaha untuk meningkatkannya.
Apa yang kita faham sekarang ini ialah pembangunan membawa perubahan. Perubahan tersebut juga membawa makna positif ataupun negatif. Namun yang pasti perubahan ini telah membentuk satu era negara bangsa yang telah berubah mengikut peredaran zaman dan kesannya semakin jelas kerana tekanan kehendak globalisasi.

8.             Isu-isu Pembentukan Negara Bangsa
Selain daripada kesan-kesan sejarah dan pembangunan yang mempengaruhi pembentukan negara bangsa, terdapat juga isu-isu lain yang turut memberi kesan kepada pembentukan ini. Isu-isu dalam dan luar negara harus diambilkira.
8.1         Kesan Modenisasi
Modenisasi membawa impak kepada generasi baru. Impak ini ada yang positif dan ada yang negatif. Namun pada masa sekarang ini menurut Prof. Dr. Sidek Baba, kebanyakan remaja mengaitkan modenisasi mesti sealiran dengan negara barat. Baik dari segi jasmani atau rohani. Kadar salahlaku akhlak meningkat tanpa kekangan. Remaja sangat berminat dengan perkara yang berkaitan dengan pakaian, budaya, hiburan, kesenian dan sebagainya. Tapi kurang mencontohi kerajinan membaca, berfikir, mengkaji dan menulis tentang perkara ilmiah. Perilaku ini merugikan bangsa yang inginkan impak positif. Oleh itu, golongan ini perlukan bimbingan semua pihak agar bangsa yang dibina tidak runtuh.
8.2         Konflik Etnik
Peristiwa 13 Mei merupakan peristiwa besar dalam catatan sejarah negara. Rusuhan kaum dan kemuncak masalah perpaduan telah melagukan sentimen perkauman. Peristiwa berakir dengan pengisyhtiharan Darurat pada malam 16 Mei 1969. Jelas sungguh bahawa integrasi nasional dalam pembentukan negara bangsa perlu dititikberatkan. Persoalan perpaduan dengan satu identiti perlu ada bagi kestabilan dan keteguhan negara.
8.3         Teknologi
Dewasa ini semua urusan telah diuruskan dengan penggunaan teknologi. Peranan teknologi mengatasi kemampuan manusia sehingga boleh merentas sempadan. Bagi penghasilan produk yang lebih berkualiti dan berkuantiti tinggi, penggunaan teknologi adalah jalan mengatasinya. Penggunaan peralatan berteknologi untuk berkomunikasi sambil berhibur, saluran internet dan media massa menjadikan teknologi sebagai aliran baru yang menjadi tumpuan dan kemestian. Oleh itu, kebergantungan kepada teknologi secara melampau merosakkan alam dan masyarakat.
8.4         Pemingiran Budaya Tradisi
Golongan generasi masa kini lebih mengagungkan budaya luar yang dikatakan lebih bersifat terkini dan moden. Tanggapan ini telah meminggirkan adat dan amalan budaya sendiri. Nilai-nilai masyarakat sejati kurang diamalkan lagi kerana dianggap sudah lapuk. Pemikiran ini sedikit sebanyak menghakis identiti bangsa yang dibina. Sekiranya budaya luar diterima sebulat-bulatnya maka hilanglah identiti bangsa Malaysia.


9.             Kesimpulan
Dalam membina negara dan bangsa yang berjaya pengukuhan terhadap konsep negara bangsa harus dititikberatkan. Kita harus memahami konsep ini dengan lebih mendalam untuk mendapat menafaat daripadanya. Perpaduan kaum merupakan elemen penting dalam konsep ini kerana ia menentukan kestabilan dan keharmonian negara. Semua perancangan pembangunan negara mestilah berdasarkan perpaduan kaum agar peristiwa 13 Mei 1969 tidak akan berulang.  Masalah sosial juga gangguan utama dalam memperkukuhkan konsep negara bangsa. Kesedaran setiap warga harus ada agar dapat menangani kemasukan budaya luar yang merosakkan. Kesedaran dan tanggungjawab tentang pencegahan juga perlu ada dalam jiwa agar kejadian jenayah, rosak akhlak, jenayah, penagihan dadah dan salahlaku boleh ditangani bersama. Dalam pada itu sistem pendidikan juga memainkan peranan penting. Sistem pendidikan mestilah mencerminkan masyarakat majmuk. Bukan setakat itu, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sistem pendidikan yang sama serta kurikulum yang sama bagi memeperkukuhkan perpaduan. Pendidikan Sejarah dan Tatanegara juga perlu bagi memantapkan lagi negara bangsa yang mempunyai jati diri dan berkeyakinan tinggi.
Perjuangan parti politik juga memainkan peranan penting. Perbezaan perjuangan politik harus dipandang dari segi positif. Aliran pendapat yang berbeza ini harus digunakan sepenuhnya bagi memantapkan pembangunan negara. Di samping itu, pemantapan sistem ekonomi adalah perlu dengan mewujudkan keadilan ekonomi untuk semua etnik. Semua etnik diberi peluang dan bantuan yang sewajarnya agar semua masyarakat menikmati pembangunan ekonomi yang sama rata.
Pengukuhan nilai-nilai murni dalam jiwa masyarakat harus diperkukuhkan semula. Pengaruh-pengaruh luar telah menghakis semangat ini. Amalan masyarakat dulu seperti gotong-royong, menghormati orang tua, lemah lembut, sopan santun, berpekerti mulia, ikhlas dan jujur mesti menjadi tunjang diri masyarakat kini. Di samping itu, semangat petriotisme  merupakan elemen penting dalam diri masyarakat untuk membentuk negara bangsa yang kukuh. Pengukuhan ini pentik untuk mengelakkan  negara bangsa musnah dan kuasa asing mengambil kesempatan untuk menguasai negara.
Tidak dinafikan lagi bahawa pengukuhan konsep negara bangsa boleh memantapkan lagi negara dan menjadikan negara ini sebagai bangsa yang berjaya. Di samping itu, tidak ketinggalan juga nilai-nilai jati diri harus diutamakan untuk memperteguhkan lagi negara bangsa yang mempunyai identiti tersendiri.














Rujukan
Hasnah Husiin (2010). Isu-isu Negara Bangsa Abad Ke-21. Pahang Darul Makmur: Penerbit         Universiti Malaysia Pahang.
Zulhilmi Paidi & Rohani Ab. Ghani (2003). Kenegaraan Malaysia: Isu-isu dalam pembinaan negara. Selangor Darul Ehsan: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Sirachandralingam dan Ayadurai (2003). Tamadun Dunia. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan        Fajar Bakti.
Mohd Idris Salleh, Fauziah Shafie & Che Su Mustafa (1994) Sejarah Pembinaan Bangsa dan Negara. Kuala Lumpur:Utusan Publications Sdn. Bhd.
Fauziah Shafie & Ruslan Zainuddin (2000) Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur:Fajar Bakti.