BML 3043

a) Berikan penjelasan berkenaan konsep fonetik dan fonologi, serta aspek-aspek kajian fonetik.

1.0              Pengenalan
Konsep penting sesuatu bahasa yang dipersetujui oleh ramai ahli bahasa ialah bunyi. Aspek kajian bunyi dalam bahasa diwakili oleh dua komponen utama linguistik deskriptif, iaitu fonetik dan fonologi. Bidang kajian ilmu bahasa ini juga sebagaimana kajian linguistik yang lain, melibatkan banyak teori, prinsip, konsep dan unsur-unsur linguistik. Fokus kajian fonetik dan fonologi sebagai salah satu daripada cabang ilmu linguistik adalah meneliti dan menganalisis pelbagai sudut dan selok-belok bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia dalam pertuturan dan berkaitan fungsinya dalam sistem bahasa.

Asal usul perkataan fonetik menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), adalah daripada bahasa Greek yang kemudiannya disebut sebagai phone yang bermaksud bunyi (suara), iaitu kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan. Manakala bagi istilah fonologi, Abdul Chaer (2003:102)[1][1] menjelaskan secara etimologi istilah “fonologi” ini dibentuk dari kata “fon” yang bermakna “bunyi” dan “logi” yang berarti “ilmu”. Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa fonologi pada umumnya merupakan ilmu yang menyelidiki bunyi-bunyi bahasa. Objek kajiannya adalah “fon” atau bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat ucap manusia. Sementara itu, menurut Verhaar (1983:36) istilah “fonologi” adalah berpadanan dengan “phonology di dalam bahasa Inggeris. Ia merupakan satu bidang [2]khusus dalam linguistik. Pada masa lampau, di Amerika istilah fonologi ini lebih dikenali dengan sebutan “phonemics” tetapi lewat belakangan ini mereka telah mengubahnya dengan menggunakan istilah “phonology”.[3][2]

Bunyi bahasa yang menjadi tumpuan ilmu fonetik hanyalah bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ sebutan manusia dalam pertuturan, iaitu dari segi kaedah pengeluarannya, daerah pengeluarannya, dan alat pertuturan yang terlibat dalam menghasilkan bunyi bahasa. Sementara bunyi lain yang dikeluarkan dari organ pertuturan tetapi bukan sebagai bunyi bahasa pertuturan manusia seperti bunyi batuk, bersiul, sendawa, berdaham dan berdengkur bukanlah dalam ruang lingkup kajian ilmu fonetik dan fonologi.

2.0              Fonetik
2.1              Definisi Fonetik
Fonetik ialah kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi- bunyi itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan.

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), asal perkataan fonetik adalah daripada bahasa Greek yang kemudiannya disebut sebagai phone yang bermaksud bunyi (suara), iaitu kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan. Sementara Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) pula menyatakan fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi. Selain itu, fonetik juga boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, mahu pun bunyi-bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi. (Dr. Lufti Abas, 1975). Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) pula mentakrifkan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh kita iaitu manusia dan memberikan lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Abdullah Hassan (2005) pula menjelaskan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji penyebutan bunyi manusia, terutama bunyi yang digunakan dalam pertuturan.

2.2               Konsep Fonetik
Fonetik ialah cabang ilmu linguistik yang meneliti selok-belok bunyi bahasa yang hanya dihasilkan oleh manusia dalam pertuturan. Bunyi-bunyi yang seakan-akan bunyi bahasa atau bunyi-bunyi lain ataupun bunyi-bunyi yang selain bunyi bahasa yang dihasilkan oleh bukan manusia tetapi menyerupai bunyi bahasa manusia, hatta bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia yang bukan daripada organ-organ sebutan manusia ataupun bunyi-bunyi lain yang cara penghasilannya bukan yang diucapkan oleh alat-alat pertuturan manusia ataupun bunyi yang mungkin dihasilkan oleh alat artikulasi tetapi tidak digunakan dalam pertuturan, misalnya bunyi batuk, bunyi siulan, bunyi sendawa, bunyi dehem, bunyi berdengkur dan yang seakan-akannya bukanlah dalam penelitian ilmu fonetik. Ertinya bunyi-bunyi yang tidak digunakan dalam pertuturan manusia bukanlah dalam penelitian ilmu fonetik dan bunyi-bunyi bahasa yang menjadi fokus ilmu fonetik hanyalah bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ-organ sebutan manusia dalam pertuturan. Jadi, hal ini jikalau dihalusi bererti fonetik meneliti bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ-organ sebutan manusia dalam pertuturan daripada segi cara pengeluarannya, daerah pengeluarannya dan alat-alat pengucapan yang terlibat dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa.

Di samping bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh organ-organ sebutan manusia itu, bidang fonetik juga meneliti penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa. Maknanya aspek penelitian fonetik ada tiga. Penelitian yang pertama, iaitu penelitian penghasilan bunyi bahasa yang diucapkan oleh alat-alat pertuturan manusia dalam berkomunikasi itu dikenali sebagai pengkajian fonetik artikulasi. Penelitian yang kedua ialah penelitian penyampaian bunyi bahasa, iaitu bagaimana arus udara bergetar antara mulut penutur ke telinga si pendegar itu dikenali sebagai pengkajian fonetik akustik. Manakala yang terakhir ialah penelitian penerimaan bunyi bahasa dalam proses pendengaran, iaitu bagaimana nada, kelantangan, kepanjangan dan kualiti bunyi serta tindak balas pendengar untuk mengetahui rangsangan fizikal yang didengarinya itu dikenali sebagai pengkajian fonetik auditori.

3.0              Fonologi
3.1               Definisi Fonologi
Fonologi ialah kajian tentang sistem bunyi bahasa yang berkaitan senarai bunyi bahasa dan ciri-ciri bunyi tersebut serta peraturan khusus yang menjelaskan cara bunyi-bunyi tersebut berhubung antara satu sama lain. Tugas bidang fonologi ialah merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu bahasa secara terperinci.

Menurut Arbak Othman (1983), fonologi merupakan bahagian daripada linguistik deskriptif yang mempelajari bunyi-bunyi yang diucapkan dalam atau melalui mulut manusia. Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) pula menjelaskan bahawa fonologi ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Fonologi terbahagi kepada dua iaitu fonetik dan fonemik. Fonemik merupakan bidang yang mengkaji bunyi-bunyi sesuatu, iaitu pengkajian tentang fungsi atau struktur bunyi bahasa itu. Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Syam (2005) pula, bidang fonologi mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan, khusus bagi sesuatu bahasa. Abdullah Hassan (2005), pula menyatakan fonologi ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi-bunyi dalam bahasa.


3.2               Konsep Fonologi
Konsep fonologi pula lebih kepada menentukan sistem bunyi satu-satu bahasa dengan berdasarkan jenis-jenis bunyi sama ada bunyi itu distingtif (membezakan makna) atau tidak distingtif (tidak membezakan makna). Fonologi dikonsepkan sebagai bidang pengajian yang melibatkan pengkajian terhadap bunyi-bunyi bahasa dan fungsi-fungsi bunyi bahasa dalam bahasa Melayu.

4.0              Aspek-aspek Kajian Fonetik
Aspek kajian fonetik menurut beberapa orang linguis mempunyai pendapat yang sama tentang aspek kajian yang boleh dilakukan oleh ahli fonetik. Ada tiga aspek kajian, iaitu:
                             i.               fonetik artikulasi iaitu cabang fonetik yang meneliti bunyi berasaskan alat-alat pertuturan dalam artikulasi.
                           ii.               fonetik akustik iaitu cabang fonetik yang meneliti ciri-ciri fizikal atau sifat bunyi bahasa.
                         iii.               fonetik auditori iaitu cabang fonetik yang meneliti bunyi berasaskan pendengaran sebagai persepsi bahasa.
           
4.1               Fonetik Artikulasi
Fonetik artikulasi ialah cabang fonetik yang meneliti cara dan pendeskripsian sesuatu bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia berasaskan alat-alat pertuturan dalam artikulasi. Pendeskripsian ini melibatkan alat artikulasi atau artikulator. Artikulator yang terlibat dalam proses penghasilan bunyi bahasa dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu artikulator bahagian dada, tekak dan kepala.

Artikulator bahagian dada seperti paru-paru (lungs) dan batang tenggorak (trachea). Artikulator bahagian tekak seperti pangkal tenggorok (larynx), pita suara (vocal cords), krikoid (cricoid), tiroid (thyroid) atau halkum, aritenoid (arythenoids), farinks (pharynx) atau dinding rongga kerongkong, dan epiglotis (epiglottis). Artikulator bahagian kepala pula boleh bersifat statik dan sebaliknya kerana boleh bergerak dan sebaliknya. Malahan, artikulator ini juga dianggap sebagai alat artikulasi aktif dan pasif. Artikulator yang terlibat dalam proses penghasilan bunyi bahasa bahagian kepala ini dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu artikulator aktif dan artikulator pasif / daerah artikulasi pasif.

4.2               Artikulator Aktif
Artikulator aktif ialah artikulator yang digunakan bagi menghasilkan bunyi bahasa. Artikulator aktif tidak bersifat statik kerana boleh bergerak. Malahan, artikulator ini disifatkan sebagai alat artikulasi aktif. Antaranya adalah seperti anak tekak (uvula), akar lidah (root of the tongue - hump), belakang lidah (back of the tongue - dorsum), tengah lidah (middle of the tongue - medium), daun lidah (blade of the tongue - laminal), hujung lidah (tip of the tongue - apex), gigi bawah (lower teeth - denta), dan bibir bawah (lower lip - labia). Manakala artikulator pasif ialah bahagian yang menjadi tempat sentuhan artikulator aktif yang digunakan tatkala menghasilkan sesuatu bunyi bahasa.

4.3               Artikulator Pasif
Artikulator pasif atau daerah artikulasi pasif ini bersifat statik kerana tidak boleh bergerak. Malahan, artikulator pasif disifatkan sebagai alat artikulasi pasif. Antaranya adalah seperti gelungan (retroflex), lelangit keras (hard palate - palatum), lelangit lembut (soft palate - velum), gusi lelangit keras (alveolar ridge), gigi atas (upper teeth - denia), bibir atas (upper lip - labia), mulut (mouth), rongga mulut (mouth cavity / oral cavity), dan rongga hidung (nose cavity / nasal cavity).

Pendeknya, fonetik artikulasi ialah bidang yang meneliti penghasilan bunyi pertuturan oleh alat pertuturan manusia, iaitu bagaimana seseorang penutur itu menghasilkan bunyi dengan menggunakan alat pertuturan dan cara bunyi itu diklasifikasikan dan dideskripsikan. Alat ujaran yang bergerak untuk menghasilkan bunyi bahasa disebut artikulator atau artikulator aktif. Antara contoh artikulator adalah seperti lidah, gigi bawah dan bibir bawah. Manakala daerah yang disentuh atau didekati oleh artikulator disebut daerah artikulasi. Antara contoh daerah artikulasi adalah seperti gigi atas, gusi atas, bibir atas, anak tekak, lelangit keras dan lelangit lembut. Oleh sebab adanya artikulator aktif dan pasif inilah yang menjadikan timbulnya penamaan bunyi-bunyi bahasa seperti bunyi letupan dua bibir bersuara, letupan dua bibir tidak bersuara, geseran lelangit keras bersuara, geseran lelangit keras tidak bersuara dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila dua bibir terkatup, daerah artikulasinya ialah bibir atas, sedangkan bibir bawah bertindak sebagai artikulator. Dengan itu bunyi yang terhasil dinamakan sebagai bunyi bilabial (‘bi’ bermakna ‘dua’ dan ‘labial’ bermakna ‘bibir’). Bunyi [b], [p], [m] ialah bunyi bilabial.

4.4               Fonem
Fonem ialah unit bahasa yang terkecil yang berfungsi. Fonem juga merupakan unit yangbermakna atau perkataan yang terdiri daripada beberapa unit bunyi. Contoh kata yang menjelaskan fonem ini ialah perkataan palu. Kata ini terdiri daripada empat unit yang berbunyi iaitu p, a, l, u. Unit-unit bunyi ini dipanggil fonem iaitu unit terkecil yang berfungsi. Sebagai contoh sekiranya p diganti dengan m, maka palu akan bertukar menjadi malu. Oleh itu , p dan m adalah unit terkecil yang berfungsi kerana unit itu membezakan maksud ujaran. Selain daripada itu fonem juga boleh difahamai sebagai unit yang terkecil yang membezakan makna. Perbezaan makna ini dapat dilihat pada pasangan minimal atau pasangan terkecil perkataan.

Contohnya, pasangan minimal, pedang dengan petang. Dalam pasangan minimal pedang dengan petang itu terdapat bunyi yang berbeza iaitu bunyi d dan bunyi t. Perkataan pedang dikatakan hampir sama dengan perkataan petang namun hanya dibezakan dengan bunyi d dan t. Dalam konteks ini, bunyi d dan t merupakan bunyi yang distingtif yang membezakan makna. Oleh itu bunyi d dan t adalah bertaraf fonem yang berbeza dan bunyi fonem itu diletakkan dalam kurungan fonem iaitu /d / dan /t/.

Selain daripada pasangan minimal pedang dengan petang, terdapat lagi beberapa contoh yang akan diperjelaskan untuk lebih memberi kefahaman yang mendalam. Contohnya perkataan kaya dan paya. Kedua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza, hal ini disebabkan oleh fonem k dan p. Fonem seperti apa yang kita harus fahami ialah unit yang terkecil yang dapat membezakan makna. Maka bunyi k dan p merupakan unit-unit terkecil itu yang dapat membezakan makna perkataan kaya dan paya. Maka bunyi k dan p boleh dikategorikan sebagai fonem yang membezakan makna. Oleh itu bunyi k dan p diletakkan dalam kurungan fonem iaitu /k/ dan /p/.

Contoh yang seterusnya ialah pasangan minimal perkataan sayang dan wayang. Pasangan minimal sayang dan wayang ini dibezakan oleh fonem s dan w. S dan w merupakan unit yang terkecil yang membezakan makna pasangan minimal sayang dan wayang. Maka s dan w merupakan unit-unit terkecil yang membezakan makna. Oleh itu, s dan w dikategorikan sebagai unit-unit terkecil yang membezakan makna pasangan minimal sayang dan wayang. Oleh yang demikian s dan w ini diletakkan dalam kurungan fonem iaitu /k/ dan /p/.

Selain daripada contoh pasangan minimal yang telah diperjelaskan diatas terdapat juga beberapa contoh pasangan minimal yang boleh menunjukkan unit-unit terkecil yang membezakan makna ataupun dalam istilah bahasa melayu iaitu fonem. Contoh adalah seperti berikut :
i.          Barat dan Karat
            -           /b/ dan /k/ merupakan fonem yang berbeza.

ii.         Dalam dan Talam
            -           /d/ dan /t/ merupakan fonem yang berbeza
iii.        Cari dan Jari
            -           /c/ dan /j/ merupakan fonem yang berbeza
iv.        Pakar dan Bakar

4.5               Alofon
Alofon merupakan anggota-anggota kepada satu fonem. Alofon juga merupakan kelainan bunyi antara satu sama lain tetapi masih tergolong ke dalam satu fonem. Kelainan bunyi yang tergolong ke dalam satu fonem ini berlaku akibat terpengaruh oleh bunyi tertentu sama ada yang terdahulu atau terkemudian daripadanya. Misalnya fonem /k/ dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa kelainan bunyi (alofon) kerana terpengaruh oleh bunyi di sekitarnya, misalnya alofon k, kʷ dan ˀ. Bunyi alofon k terjadi akibat kehadiran dalam perkataan kiri (atau k yang diikuti oleh vokal depan i).

Bunyi kʷ terjadi kerana kehadirannya dalam perkataan kuda (iaitu k yang diikuti oleh vokal belakang u). Bunyi ˀ terjadi kerana kehadirannya diakhiri kata dalam suku kata tertutup seperti dalam perkataan kakaˀ. Dalam hal ini, alofon k, kʷ dan ˀ adalah alofon-alofon daripada keluarga bunyi yang sama, iaitu fonem /k/. Ketiga-tiga bunyi k, kʷ, ˀ iaitu adalah bunyi yang mempunyai kesamaan fonetik. Maksudnya bunyi-bunyi alofon tersebut hampir-hampir sama dari segi cara pengucapannya dan juga cara penghasilannya. Ketiga-tiga bunyi itu adalah saling melengkapi dimaksudkan masing-masing bunyi tersebut menduduki posisi tertentu tempat masing-masing dalam bahasa Melayu.

Selain daripada itu alofon juga boleh difahami ataupun didefinisikan sebagai fonem yang terdiri daripada anggota fonem. Misalnya fonem p dalam perkataan palu, lupa dan luap. Bunyi fonem p dalam perkataan palu dan sebagai letupan bibir yang sempurna, manakala perkataan luap, bunyi p diujarkan sebagai letupan bibir yang tidak sempurna yakni tidak diletupkan. Maka dengan itu, daripada ketiga-tiga contoh yang diberikan fonem p mempunyai dua alofon.

Alofon juga boleh terjadi daripada bunyi yang bervariasi bebas. Dengan bervariasi bebas dimaksudkan walaupun bunyi-bunyi itu berbeza dalam perkataan tertentu misalnya faham dengan paham tetapi perbezaan bunyi tidak membawa makna yang berbeza maknanya yang sama.

Dalam bahasa Melayu terdapat pula beberapa perkataan yang hampir sama dari segi sebutan tetapi maknanya sama (tidak berbeza), misalnya perkataan agama, ugama dan igama. Walaupun perkataan agama, ugama dan igama itu dari segi makna tidak berbeza, tetapi vokal a, u, i adalah asalnya fonem yang membezakan makna kerana terdapat pasangan minimal masing-masing yang membezakan makna iaitu baru, buru, biru. Oleh sebab itu vokal a, u dan i adalah distingtif (membezakan makna), maka bunyi a, u, dan i adalah bertaraf fonem, maka bunyi a, u dan i adalah bertaraf alternasi bebas.

4.6               Cara-cara Penghasilan Konsonan
konsonan c

konsonan h



konsonan j

konsonan k


konsonan l

konsonan m


konsonan n

konsonan r


konsonan t

konsonan y


konsonan z


5.0              Kesimpulan
Bagi memahami konsep dan aspek-aspek kajian fonetik dan fonologi adalah lebih mudah mengatakan bahawa kajian pengucapan menghasilkan sebutan menggunakan alat artikulasi dan seterusnya ditransformasikan dalam bentuk ejaan dengan menggunakan lambang-lambang tertentu untuk memudahkan sebutan. Namun begitu, adalah sukar bagi pembaca untuk membaca tulisan dengan lambang-lambang liguistik, maka dengan itu dihasilkan ejaan dengan lebih mudah.
           









b) Bidang fonologi dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu fonetik dan fonemik.
Jelaskan perbezaan antara KEDUA-DUA bahagian tersebut.


1.0              Pengenalan
Fonologi ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia.  Bunyi-bunyi itu pula ialah bunyi-bunyi yang bermakna dan memberi makna.   Sudah sedia maklum bahawa pertuturan ialah bunyi-bunyi yang bermakna kerana apabila pertuturan berlaku antara dua orang atau lebih maka mereka saling memahami perkara yang dituturkan. Dengan itu, bunyi yang bermakna itu ialah bunyi bahasa. Oleh itu, bunyi bahasa ialah bunyi yang bermakna adalah yang dihasilkan oleh alat artikulasi.  Kesimpulannya, bidang fonologi sebenarnya adalah merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu bahasa dengan teliti untuk menentukan peraturan dan bentuk bunyi yang tertentu.

Fonetik pula ialah kajian yang ditinjau dari segi bahan fizik atau jizim yang mewujudkan bentuk ucapan.  Oleh itu, fonetik ialah kajian yang berkaitan dengan alat-alat yang menghasilkan bunyi atau fonetik artikulasi, pendengaran, iaitu bunyi yang keluar dari mulut atau fonetik auditori dan sifat bunyi atau fonetik akustik. Ia berkaitan dengan sifat fizikal bunyi (fon) serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori, dan persepsi neurofizikal.

 Seterusnya, fonemik  pula ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi sesuatu bahasa,  iaitu pengkajian tentang fungsi atau struktur bunyi  bahasa itu. Fonemik ialah cabang fonologi yang menitikberatkan analisis sistem bunyi sesuatu bahasa yang dikaji pada masa tertentu khususnya untuk menghasilkan sistem tulisan.


2.0              Perbezaan Fonetik dan Fonemik
Fonetik mempelajari cara kerja organ tubuh manusia, terutama yang berhubungan dengan penggunaan bahasa manakala fonologi ialah ilmu tentang perbendaharaan fonem sesebuah bahasa. Fonem merupakan istilah linguistik dan merupakan gabungan terkecil dalam sesuatu bahasa yang masih boleh menunjukkan perbezaan makna. Fonem berbentuk bunyi. Contohnya bunyi [k] dan [g] merupakan dua fonem yang berbeza, seperti dalam perkataan "cagar" dan "cakar".

Perbezaan lebih jelas dapat difahami melalui;
                                i.            Sebutan Huruf yang pada umumnya, setiap huruf dalam ejaan Rumi atau Jawi perlulah  dilafazkan dengan jelas mengikut nilai bunyi bahasa Melayu yang dilambangkan. Perihal ini lebih jelas dikatakan kajian tentang fonetik sesuatu bahasa.
                              ii.            Sebutan kata hendaklah berdasarkan ejaan secara keseluruhan dan juga berdasarkan bentuk kata (pola pada suku kata) sama ada kata dasar atau kata terbitan. Dalam pada itu, pengucapan berintonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam Bahasa Melayu serta  keperihalan keadaan yang berkenaan. Perkaitan ini dikaji dari segi fonemik sesuatu bahasa.
                            iii.            Garis pemisah cuba dijelaskan oleh ahli bahasa mengenai perbezaan kedua-dua kajian ini. Adalah lebih jelas jika digambarkan secara berjadual seperti berikut;
·         gambaran fonetik
Sebagai contoh untuk difahami dalam Bahasa Melayu standard terdapat enam jenis vokal yang dapat dihasilkan, iaitu [i, e, a, o, u, @] dan dua vokal tambahan dalam dialek Melayu, iaitu [ε] dan [O]. Bunyi-bunyi  [ε] dan [O] merupakan bentuk sebutan harian dan juga perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, seperti beg dan bos. Pemerhatian ini boleh difahami melalui pelambangan atau simbol dalam rajah di atas.

·         gambaran fonemik
Kata
Fonemik
Vokal A
/a/
Saya
/saya/
Zalim
/zalim/

                            iv.            Daripada gambaran yang ditunjukkan di atas bolehlah dijelaskan seperti berikut;
Fonetik
Fonemik
[pa.sa]
/pasar/
[mã.kan]
/makan/
[gu.la.ʔi]
/gulai/
[ðalem]
/dzalim/
[haðer]
/hadzir/

Sebagai rumusan, didapati kedua-dua bidang ini saling melengkapi antara satu sama lain. Bagi memahami fonologi, aspek fonetik perlu dikuasai terlebih dahulu. Apabila sudah menguasai bidang fonetik, baharulah sistem bunyi bahasa iaitu fonemik dalam sesuatu bahasa dapat difahami dan dihuraikan dengan sempurna. Dengan demikian dapat dilihat bahawa fonetik dan fonemik adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Garis pemisah antara kedua-duanya adalah kurang jelas walaupun ada sarjana cuba meletakkan garis pemisahnya.

3.0              Kesimpulan
Kedua-dua transkripsi fonemik dan fonetik adalah penting bagi menjelaskan proses fonologi yang berlaku. Tanpa penjelasan terperinci antara kedua-duanya maka adalah sukar bagi pengucapan dan penulisan untuk dibuat. Kesukaran ini juga akan menggangu proses pembakuan bahasa.

Di samping itu juga, fonemik dan fonetik menjelaskan batas-batas bahasa untuk menggambarkan keunikan sesuatu bahasa sama ada dari segi pertuturan atau penulisan. Sementara itu, kajian kedua-dua hal ini memperkayakan nahu bahasa dan ditambahan pula dengan pengucapan berintonasi.















Bibiografi
1.                  Abdullah Hassan. (2005). Linguistik am: Siri pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

2.                  Arbak Othman. (1983). Permulaan ilmu linguistik: Suatu pengenalan konsep dan bidang
kajian secara toritis. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.

3.                  Indirawati Zahid & Mardian Shah Omar. (2006). Fonetik dan fonologi. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
4.                  Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir. (2005). Teori bahasa: Implikasinya terhadap pengajaran tatabahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

5.                  Nik Safiah Karim & Wan Malini Ahmad. (2006). Teks bahasa Melayu STPM. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

6.                  Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain. (1980). Kaedah dan teknik mengajar bahasa:
Dengan rujukan khas kepada pengajaran bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Ilmu.

7.                  Sheikh Roslam Sheikh Abdullah & Aminuddin Bin Mamat (2011). Modul PGSR: WAJ3104 Literasi bahasa. IPG Kampus Kota Bharu.

8.                  Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu I edisi kedua. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

9.                  Abdullah Hassan (1984). Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

10.              Ab. Rahman Ab. Rashid et.al. (1997). Pengajian Melayu 1, Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
11.              Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006). Fonetik dan Fonologi, Kuala Lumpur: PTS Professional Sdn. Bhd.

Raminah Sabran dan Rahim Syam (1985). Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.


[1][1] Abdul Chaer, (2003), Linguistik Umum, Jakarta, PT Rineka Cipta.

[3][2] Verhaar, J.W.M., (1983), Pengantar Linguistik, Yogyakarta, Gadjah Mada University Press.