KPD3026i

2.         Kajian tindakan merupakan metodologi yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut     keperluan semasa kajian dijalankan.
            Bagi menyokong penyataan tersebut huraian penerangan berkaitan dengan kajian            tindakan dinyatakan. 


1.0          PENDAHULUAN
Berbicara tentang pendidikan kita semua pasti sudah tahu bahawa betapa pentingnya pendidikan tersebut. Pendidikan, kemampuan, pengetahuan merupakan salah satu modal yang kita miliki untuk hidup di zaman global ini. Bagi suatu bangsa yang ingin maju, pendidikan harus dipandang sebagai sebuah keperluan sama halnya dengan keperluan-keperluan lainnya. Maka tentunya peningkatan mutu pendidikan juga berpengaruh terhadap perkembangan suatu bangsa. Pendidikan merupakan hal yang terpenting dalam kehidupan kita, ini berarti bahwa setiap manusia berhak mendapat dan berharap untuk selalu berkembang dalam pendidikan. Pendidikan secara umum mempunyai arti suatu proses kehidupan dalam mengembangkan diri tiap individu untuk dapat hidup dan melangsungkan kehidupan.

2.0          DEFINISI KAJIAN TINDAKAN 
Kajian tindakan bermaksud sesuatu yang berorientasikan kepada perubahan dengan melakukan sesuatu yang berguna dengan menggunakan pengetahuan yang telah diperolehi melalui proses-proses kajian. Paradigma kajian tindakan ialah tentang usaha atau percubaan untuk memperbaiki isu atau masalah yang berlaku di persekitaran sendiri. (Bassey, 1990) Kajian tindakan juga adalah merupakan satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Kajian tindakan juga sebagai satu kajian terhadap persekitaran sekolah yang melibatkan warga sekolah itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing. Kajian tindakan dilihat sebagai satu proses refleksi kendiri secara sistematik ke atas amalan semasa , (Macintyre 2000). Guru-guru perlu mempunyai kebolehan mereflek secara sistematik tentang aktiviti-aktiviti pedagogi mereka sendiri supaya dapat menambahbaik amalan pengajaran mereka. Malah menurut Macintyre (2000), tanpa refleksi guru tidak dapat merubah amalan mereka secara disengajakan atau dikawal. McNiff (1988) mendefinisikan kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk mengubahnya. Kajian ini melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka, di samping melibatkan guru-guru lain.

3.0          KONSEP KAJIAN TINDAKAN
Henry dan Henry (1982) berpendapat bahawa projek penyelidikan yang mempunyai satu kitaran tidak boleh dianggap sebagai kajian tindakan, sebaliknya hanya sebagai satu projek penyelesaian masalah. Elliott (1991) mencadangkan satu-satu projek penyelidikan kajian tindakan sekurang-kurangnya mempunyai tiga kitaran atau satu tahun pengajian. Walau bagaimanapun, Boomer (1980) dalam projek Negotiating the Curriculum menyatakan bahawa kebanyakan laporan kajian tindakan dalam projek tersebut hanya menampakkan satu kitaran sahaja. Henry dan Henry (1982) mengubah suai tiga prasyarat kajian tindakan yang dikemukakan oleh Grundy dan Kemmis (1981) untuk diaplikasikan ke dalam bidang pendidikan. Mereka berpendapat suatu projek penyelidikan layak dilabelkan sebagai kajian tindakan sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:
3.1          Projek yang berbentuk kolaborasi sama ada antara guru dengan guru, guru dengan pelajar atau guru dengan ibu bapa.
3.2          Projek dijalankan harus merangka suatu perancangan yang boleh dilaksanakan, dipantau dan direkodkan dalam bentuk kitaran serta mempunyai dinamika dalaman untuk menjana kitaran-kitaran berikutnya.
3.3          Projek harus mempunyai keupayaan memberi sumbangan pada proses pengajaran dan pembelajaran secara jelas.




4.0          JENIS-JENIS KAJIAN TINDAKAN
Bagi Calhoun (1993) pula, beliau membahagikan kajian tindakan kepada tiga senario iaitu kajian tindakan individu (individual action research), kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research) dan kajian tindakan seluruh sekolah (school wide action research). Kajian tindakan individu adalah kajian yang dilaksanakan secara individu manakala kajian tindakan kolaboratif pula dilaksanakan oleh kumpulan guru secara sukarela dengan pensyarah universiti. Kajian tindakan seluruh sekolah adalah kajian yang melibatkan seluruh kakitangan dan guru sekolah secara bersama melaksanakan kajian.
Menurut Creswell (2005)Terdapat 2 jenis kajian tindakan;
4.1          Kajian tindakan amalan (practical action research)
4.1.1      Melibatkan peninjauan tentang amalan pengajaran guru dalam konteks isu-isu di dalam bilik darjah.
4.1.2      Dijalankan sama ada melalui dirinya sendiri atau pun melibatkan rakan sejawat beliau yang mengajar mata pelajaran yang sama dengan memberi fokus terhadap amalan guru dan pembelajaran pelajar.
4.1.3      Guru mesti melaksanakan satu pelan tindakan bagi mencapai matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher as researcher).
4.2          Kajian tindakan penyertaan (participatory action research)
4.2.1      Melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menghindarkan perkembangan pelajar.
4.2.2      Guru perlu meninjau latar belakang sosial pelajar dan persekitaran sekolah.
4.2.3      Guru perlu mengadakan kolaborasi dengan komuniti atau pihak berkepentingan bagi mencari sebab musabab kenapa seseorang pelajar itu tidak boleh menguasai ilmu.
4.2.4      Guru boleh melaksanakan program untuk mengubah “cara hidup” pelajar (life-enhancing changes) apabila masalah pelajar dikenalpasti.
4.2.5      Cara ini akan menjadikan guru sebagai “emancipated researcher” ataupun guru yang membebaskan pelajarnya daripada sesuatu “belenggu” yang mencegah perkembangan pelajar.
4.2.6      Digelar dengan berbagai-bagai nama seperti: community-based inquiry (Stringer, 1999), collaborative action research or participatory research (Kemmis & McTaggart, 2000) atau critical action research (Mills, 2000).
                       
5.0          PROSES KAJIAN TINDAKAN

5.1          Menurut Elliot (1981), kajian tindakan adalah rangka untuk penilaian kendiri di sekolah dan pendekatan dalam kajian tindakan mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam sesuatu situasi sosial di sekolah. Dalam usaha menyelidik, guru sebenarnya melakukan inovasi dan perubahan secara refleksi dan inkuiri. Sehubungan itu, untuk melaksanakan kajian tindakan dengan berkesan anda perlulah:

5.1.1      Membuat perancangan
Setelah mendapat idea awal untuk memulakan langkah kajian tindakan, penyelidik (guru) perlu membina rancangan untuk bertindak ke arah penambahbaikan. Sebagai permulaan, penyelidik perlu menilai situasi sedia ada bagi mendapatkan maklumat yang akan membantunya merancang tindakan yang bakal diambil. Contohnya, apabila hampir separuh daripada sekumpulan gagal dalam ujian topikal yang ditadbir, maklumat terperinci diperlukan tentang soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kumpulan pelajar berkenaan. Maklumat ini dapat diketahui dengan merujuk kepada isi kandungan yang gagal difahami oleh pelajar sehinggakan tidak dapat menjawab soalan yang berkaitan dengan topik berkenaan dalam ujiian topikal. Kemudian berdasarkan maklumat yang terkumpul, penyelidik boleh membentuk soalan penyelidikan.

5.1.2      Menjalankan tindakan
Setelah membina rancangan tindakan, tiba masanya bagi pelaksanaan. Penyelidik (guru) perlu menyemak kembali kertas jawapan pelajar bagi mengenal pasti soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kebanyakan mereka, diikuti oleh ujian diagnostik bagi mengesan kesukaran serta kekeliruan yang dihadapi oleh pelajar tentang topik yang diajar. Setelah itu, penyelidik akan mengajar semula topik berkenaan dengan memberi contoh-contoh yang lebih mudah difahami oleh pelajar serta disertai dengan latihan dan bimbingan bagi setiap pelajar secara individu.

5.1.3      Pemerhatian / tindakan yang dijalankan direkodkan
Pemerhatian bertindak sebagai pengumpulan maklumat, hasil daripada pemerhatian ini penyelidik dapat mengenalpasti apa yang perlu dilakukan dan melaksanakan apa yang telah dirancang dengan teliti.

5.1.4      Refleksi ke atas tindakan
Selepas semua perancangan dibuat, penyelidik perlu melakukan refleksi untuk mengetahui sama ada kajian yang dilakukan.

5.2          Madzniyah et.al (1995) pula telah mengemukakan prosedur atau proses pelaksanaan kajian tindakan mengikut langkah-langkah berikut:

5.2.1      Mengenal pasti isu atau masalah atau situasi.
5.2.2      Merancang tindakan.
5.2.3      Melaksanakan langkah-langkah tindakan.
5.2.4      Meninjau dan mengutip data.
5.2.5      Tindakan untuk gelungan atau kitaran kedua.

6.0          CIRI-CIRI KAJIAN TINDAKAN
Terdapat tiga ciri penting kajian tiindakan yang membezakannya daripada penyelidikan-penyelidikan lain. Ciri-ciri tersebut ialah ;
(a)          amalan reflektif yang perlu ada pada pengamal bidang.
(b)          penglibatan pengamal dalam penyelidikan yang dijalankan.
(c)          lingkaran penyelidikan yang dijalankan secara berterusan.

6.1          Elemen Reflektif
Kajian tindakan membawa dua manfaat utama iaitu, kajian tindakan menggalakkan guru untuk mereflek amalan mereka dan seterusnya akan menggalakkan perubahan terhadap amalan tersebut. Oleh itu, kajian tindakan sebagai penyelidikkan untuk menambah baik amalan oleh individu pengamal yang memerlukan mereka sentiasa memikir kembali segala tindakan yang dilakukan dalam amalan harian mereka. Seorang guru yang profesional perlu sentiasa mengimbas kembali pengajarannya tentang apa yang berlaku semasa pengajarannya setelah selesai mengajar sesuatu perkara. Tanpa mengimbas kembali atau membuat refleksi terhadap aksi-aksi pengajaran yang telah berlaku, kajian tindakan tidak boleh berlaku.

6.2          Elemen Penglibatan
Satu ciri untuk kajian tindakan ialah individu yang melaksanakan penyelidikan, iaitu guru, akan terlibat dengan penyelidikan tersebut. Secara amnya, masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan masalah yang bersifat setempat (natural setting) dan unik. Ini memerlukan penelitian khusus oleh guru yang terlibat. hal ini bermakna, hanya guru yang terlibat seharusnya bertanggungjawab ke atas penyelesaian kepada masalah berkenaan. Memandangkan hanya guru yang lebih memahami situasi yang dihadapi, maka ia jugalah yang paling layak untuk menilai dan mempertimbangkan tindakan yang seharusnya diambil. Di samping itu, masalah yang dihadapi melibatkan guru sebagai individu yang memiliki keupayaan, kepercayaan, pemikiran serta pengetahuan sedia ada yang hanya diketahui oleh guru tersebut. Oleh itu, bagi mencari jalan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi, suatu penyelidikan wajar dijalankan olehh guru yang terlibat bagi membolehkannya mengambil sesuatu tindakan yang lebih tepat daripada penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik luar.

6.3          Elemen Lingkaran
Kajian tindakan bukanlah suatu penyelidikan yang berhenti setelah penyelesaian ditemui. Walaupun setiap kajian akan mempunyai suatu penghujung, namun kajian tersebut merupakan penyelidikan yang berlangsung dalam lingkaran yang berterusan. Lingkaran pertama- merancang, bertindak, memerhati, mereflek - tidak akan berhenti, sebaliknya akan diteruskan dengan merancang tindakan seterusnya. Kajian tindakan jarang sekali memberi penyelesaian muktamad bagi sesuatu masalah yang dihadapi. Pada peringkat pemerhatian dan refleksi, maklumat baru akan diperoleh bagi masalah yang dihadapi, yang menuntut kajian tindakan. Ada kalanya beberapa masalah baru akan timbul yang memerlukan penyelidikan lain dijalankan di bawah penyelidikan sedia ada.

7.0          MODEL KAJIAN TINDAKAN
Terdapat beberapa model kajian tindakan diantaranya ialah Model-Model Kajian Tindakan Kurt Lewin(1940), Stephen Corey (1950), Lawrence Stenhouse(1970s) Carr and Kemmis(1980s), John Elliot (1990s), Donald Schon(1980s), Jack Whitehead (1970), Jean McNiff(1990 ), Somekh(1989), Kemmis& McTaggart(1988), CRASP Zuber-Skerrit(1991), McKernan(1991, Johnson (2002), Kortecamp& Steeves(2002), John Elliot, Dave Ebbutt. Salah satu dari model tersebut ialah; Model Johnson (2002).

Johnson (2002) menyatakan bahawa terdapat lima langkah penting dalam proses pelaksanaan kajian tindakan . Langkah-langkah tersebut ialah;

7.1          mengenal pasti masalah
7.2          membuat perancangan berhubung data yang akan dipungut dan cara pemungutan
7.3          memungut dan menganalisis data
7.4          merumus
7.5          berkongsi dapatan dan pelan tindakan dengan pihak lain yang berkaitan.

            Satu kelainan model ini ialah langkah terakhir, di mana penyelidik membincangkan           persoalan penyelidikan dalam konteks teoritikal. Rajah 7 di bawah menggambarkan model ini. Kekuatan utama model ini ialah penekanan terhadap aspek tinjauan literatur     dalam penyelidikan. Pendekatan yang digunakan juga adalah lebih fleksibel kerana perbincangan persoalan penyelidikan dalam konteks teoritikal boleh dilakukan sama ada             sebelum atau selepas penyelidikan dijalankan. Walau bagaimanapun pelaksanaan            model ini mungkin memakan masa kerana tidak mempunyai langkah-langkah yang lebih       berstruktur.

8.0          ETIKA KAJIAN TINDAKAN
Penyelidik tidak seharusnya meletakkan sampel atau peserta yang digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data berada di dalam keadaan bahaya atau mungkin menyebabkan serta menimbulkan keadaan yang kurang menyenangkan pada masa hadapan. Antara etika yang perlu dipatuhi oleh penyelidik dalam melaksanakan kajian tindakan menurut Ernie (2004) ialah:

8.1          Kerahsiaan, bertanggungjawab, peka dan sensitif hak privasi atau maklumat rahsia yang diberikan oleh sampel dilindungi dengan menjaga etika kerahsiaan.
8.2          Keizinan.  Kajian tindakan yang dilakukan dalam ruang lingkup bilik darjah yang diajar oleh guru atau penyelidik tersebut, biasanya tidak memerlukan kepada keizinan atau kebenaran rasmi melainkan jika kajian yang hendak dijalankan itu melibatkan ruang lingkup yang lebih luas seperti memerlukan penyertaan kakitangan sekolah, pelajar dari kelas lain, ataupun ibu bapa dan seterusnya.
8.3          Pernyataan persetujuan.  Peserta diberitahu tentang bentuk dan tujuan kajian dilakukan ketika mendapatkan persetujuan.

9.0          KESIMPULAN
Kajian tindakan dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme guru kerana sebagai penyelidik ia dapat memberikan semangat dan minat baru untuk mengenal pasti kaedah pengajaran baru seperti yang dicadangkan dalam literatur. Kajian tindakan juga membantu guru meningkatkan kemahiran memerhati atau mencerap, dan memperbaiki komunikasi dengan pelajar. Kesannya, guru-guru akan dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran berdasarkan penemuan daripada kajian tindakan. Kajian tindakan membantu meningkatkan keserakanan, ‘empowerment’ dan ‘self-esteem’ dalam kalangan guru. Mereka menjadi lebih terbuka kepada perubahan, lebih reflektif, dan lebih bermaklumat. Mereka merasakan diri mereka sebagai pakar dalam bidang masing-masing, menjadi penyelesai masalah yang baik, menjadi lebih efektif, bersikap positif terhadap penyelidikan dan dapat melihat hubungan teori dan amalan dengan berkesan. Sehubungan dengan itu, penglibatan guru dalam kajian tindakan akan memberikan impak yang positif kepada guru sama ada dalam aspek meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran atau meningkatkan diri guru sebagai seorang yang lebih profesional.


BIBLIOGRAFI
Bassey, M (1995) Creating Education Through Research, Newark, Kirklington Moor Press/Edinburgh, BERA

Creswell, J. W. (2005). Educational Research: Planning, Conducting, and Evaluating Quantitative and Qualitative Research. Columbus: Pearson Merril Prentice Hall.McNiff, J. ( 1988) Action Research Principles and Practice . London. MacMillan

Macintyre, C. 2000. The art of action research in the classroom. London: David Dulton Publishers.

Elliott, J. ( 1981 ) Action Research; framework for self evaluation in schools, TIQL working paper No. 1, mimeo.  Cambridge Institute of Education

Grundy, S. & Kemmis, S. 1981. Educational action research in Australia: the state of the art (overview). Dlm. Kemmis, S. & McTaggart, R. (pnyt). The action research reader, hlm. 321-336. Ed. ke-3. Victoria: Deakin University.

Kemmis, S. & McTaggart, R. ( 1988 ) The Action Research Planner. Geelong, Victoria, Deakin University Press

Madzniyah Md. Jaafar, Muhammad Hussin, Choo Suet Lan, Mohd. Zubir Embong, Aminuddin Mohd. Sani, Zakiah Idris & Kim Phaik Lah (pngr.). 1995. Modul kajian tindakan. Kuala Lumpur: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Berita Harian 19/8/ 2012 - PM lancar rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional pada 11 September


Kajian Tindakan  Retrieved Oct 14, 2012, from  http://www.slideshare.net/malingall/konsep-dan-model-kajian-tindakan